DEBARAN Pilihan Raya Presiden Turkiye baru-baru ini berakhir dengan kemenangan Recep Tayyib Erdogan pada pengundian pusingan kedua mengalahkan lawannya Kemal Kilicdaroglu dengan memperoleh undi sebanyak 52 peratus. Gabungan parti politik yang diterajui Erdogan iaitu People’s Alliance juga memperoleh kemenangan selesa sebanyak 322 kerusi parlimen daripada jumlah 600 kerusi.
Rata-rata penganalisa politik berpandangan, ia adalah pilihan raya paling penting serta mendebarkan dalam sejarah moden Turkiye kerana bakal menentukan hala tuju Turkiye di era baharu selepas 100 tahun penubuhannya sebagai sebuah negara republik. Dunia Islam mahupun Barat mengikuti perkembangannya dengan penuh minat, ke manakah hala tuju Turkiye selepas ini?
Adakah Erdogan bakal menamatkan era sekularisme yang menjadi teras utama negara yang dipasak oleh Mustafa Kemal Ataturk atau sebaliknya? Melihat akan kepentingannya di mata umat Islam, maka Dunia Islam meletakkan harapan tinggi agar Turkiye bangkit kembali memimpin Dunia Islam di tengah kekalutan politik antarabangsa mutakhir ini.
Presiden Rusia Vladimir Putin menjadi antara orang pertama yang memberikan ucapan tahniah kepada Erdogan sejurus keputusan pengundian pusingan kedua diketahui. Pada majlis mengangkat sumpah Erdogan sebagai Presiden Turkiye, kehadiran luar biasa pemimpin-pemimpin dunia dapat dilihat pada upacara tersebut dan dilaporkan sebanyak 81 buah negara menghantar wakil dengan 21 orang daripadanya adalah ketua negara serta 18 orang Perdana Menteri.
Barisan kabinet yang diumumkan oleh Erdogan menggambarkan hala tuju yang akan dibawa oleh beliau bagi mengemudi Turkiye mengharungi cabaran politik semasa sama ada dalaman mahupun luaran dengan bertemakan ‘Era Baharu Turkiye’ sebagai simbolik 100 tahun berakhirnya kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah serta perjanjian-perjanjian yang mengikat Turkiye selepas kekalahannya dalam Perang Dunia Pertama dahulu.
Turkiye dan sekularisme
Tindakan Erdogan melawat makam Mustafa Kemal Ataturk selepas mengangkat sumpah sebagai presiden memberi gambaran bahawa beliau akan terus mengekalkan Turkiye sebagai sebuah negara sekular. Dengan peratus sokongan yang masih lagi besar kepada pembangkang yang dimonopoli oleh golongan sekular maka agak sukar untuk membuat perubahan drastik seperti merubah perlembangan daripada sekular kepada Islam.
Menurut Dr Walid al-Qutati, ahli Majlis Mesyuarat Tertinggi gerakan Jihad Islami dalam artikel terbaru yang disiarkan oleh laman almayadeen menyebut bahawa perubahan paling besar yang dilakukan oleh Erdogan sepanjang memegang tampuk pemerintahan sejak tahun 2002 ialah merubah Turkiye daripada fahaman sekularisme yang memerangi agama kepada ‘liberal sekularisme’.
Hakikatnya masih lagi sama akan tetapi jurangnya sangat besar jika dibandingkan permulaan era Kemal Ataturk dan kerajaan yang mendukung pemikirannya yang mencabut jati diri Islam serta melarang sebarang syiar Islam seperti larangan hijab, azan diubah kepada bahasa Turkiye, menghalalkan pelacuran dan riba serta lain-lain lagi.
Erdogan mengambil pendekatan tidak mencabut akar sekularisme sekali gus akan tetapi menggunakan elemen kebebasan dan kesamarataan yang terdapat dalam sekularisme Barat dengan memberikan kebebasan yang sama rata kepada syiar-syiar Islam untuk dilaksanakan.
Jika sekiranya golongan sekular bebas untuk membuka pusat maksiat seperti pelacuran, judi dan lain-lain maka golongan Islam juga wajar diberikan kebebasan untuk menzahirkan syiar Islam seperti institusi pendidikan Islam, pemakaian Islam dan lain-lain lagi. Ini dapat dilihat dengan ketara sepanjang era kepimpinannya masyarakat Turkiye yang berpegang dengan Islam lebih bebas menzahirkan syiar Islam berbanding zaman sebelumnya yang berdepan dengan pelbagai tekanan.
Dasar luar yang bebas
Ketika memimpin parti AKP, memenangi pilihan raya Turkiye pada tahun 2002 dan menjadi Presiden Turkiye sejak 2014, Recep Tayyib Erdogan mula dilihat sebagai seorang tokoh yang mampu membawa Turkiye ke era yang lebih baik daripada sebelumnya.
Di saat itu terutamanya selepas tahun 2001 ketika dunia baru sahaja dilanda kemelesetan ekonomi, Turkiye dilihat amat bergantung kepada Kesatuan Eropah dan dunia Barat untuk kelangsungan ekonomi mahupun kemakmurannya berikutan amat terkesan dengan kemelesetan ekonomi yang melanda dunia.
Turkiye walaupun menjadi sebahagian daripada Eropah dari sudut geografinya namun tidak menjadi sebahagian dari negara dalam Kesatuan Eropah. Ketika Erdogan mula menjadi Perdana Menteri Turkiye pada tahun 2002, beliau memulakan rundingan secara berterusan dengan Kesatuan Eropah untuk menjadi sebahagian daripadanya.
Rundingan yang berlangsung sekian lama tidak membuahkan hasil yang diinginkan. Permohonan Turkiye untuk menjadi negara anggota dalam Kesatuan Eropah dipenuhi dengan pelbagai syarat dan halangan oleh negara-negara utama di dalamnya seperti Britain, Perancis, Jerman dan Itali.
Negara-negara tersebut sedar jika Turkiye diberi peluang menyertai Kesatuan Eropah, pengaruh mereka dalam Kesatuan Eropah akan mula pudar dan terhakis serta percaya Turkiye mampu menjadi kuasa dominan dalam Kesatuan Eropah.
Maka tidak hairanlah mengapa begitu banyak syarat dan kekangan dikenakan ke atas Turkiye, semuanya bertujuan untuk menyekat pengaruh Turkiye.
Turkiye yang sedar akan permainan negara–negara utama Kesatuan Eropah telah menghentikan rundingan pada tahun 2016. Sejak daripada itu, Turkiye mula membina kekuatan sendiri baik dari segi ekonomi, geopolitik mahupun ketenteraan.
Begitu juga hubungan Turkiye dengan NATO yang saat ini dilihat amat rapuh dan seolah-olah meminggirkan Turkiye. Turkiye menyertai NATO pada Februari 1952 bersama-sama dengan Greece. Tujuan NATO menerima keanggotaan Turkiye ketika itu adalah untuk menguatkan lagi fraksi dunia Barat dalam usaha untuk mengekang pengaruh Soviet Union ketika era perang dingin.
Namun hubungan baik Turkiye dan NATO mula berubah apabila parti AK mula menerajui tampuk pemerintahan Turkiye. NATO menuduh Turkiye memusnahkan legasi demokrasi peninggalan Kamal Ataturk, memecat pegawai tentera pro Barat dan berfahaman sekular serta Erdogan dituduh menyokong Ikwanul Muslimin yang dilabel sebagai pengganas oleh negara-negara proksi Barat.
Ketika ini hubungan Turkiye dan NATO bertambah tegang akibat polisi Turkiye di Syria dan Libya. Ketegangan tersebut agak memuncak sebelum ini akibat daripada tindakan Turkiye membeli sistem peluru berpandu S400 daripada Rusia yang mengakibat Amerika Syarikat mengugurkan Turkiye daripada program jet pejuang F-35.
Kesemua senario di atas membuatkan Turkiye sedar bahawa ia tidak perlu bergantung kepada mana-mana negara untuk kelangsungannya. Jika dilihat saat ini, Turkiye seolah-olah bersendirian dalam tindakannya terutamanya dari sudut ketenteraan seperti di Libya, Syria dan juga pergolakan geopolitik Asia Barat.
Dari sudut ekonomi pula, Turkiye mula dilihat sebagai kuasa baru yang mula bangkit dari kegagalan lalu. Pelbagai infrastruktur moden dan industri berteknologi tinggi mula dibangunkan di Turkiye tanpa mengharapkan bantuan daripada dunia Barat. Turkiye juga mula melebarkan jalinan dan kerjasama ekonominya dengan China, Rusia, negara-negara Asia Barat, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika selain dilihat bakal menyertai BRICS yang dianggap bakal menjadi pencabar kumpulan G7 yang diterajui Barat.
Saat ini Turkiye mula dilihat sebagai sebuah kuasa baru yang mungkin menjadi ancaman kepada kuasa-kuasa besar dunia sama ada dari sudut ketenteraan, ekonomi mahupun penguasaan geopolitik. Turkiye sekarang bukan lagi di bawah bayang Kamal Ataturk yang mengharapkan ehsan dunia Barat, tetapi Turkiye baru yang mampu menggoncang dunia dan geopolitiknya.
Kegoncangan yang mampu menggerunkan Barat ketika ini adalah kerjasama dan hubungan erat antara Turkiye dengan Rusia mahupun China, maka tidak hairanlah Barat sehabis daya cuba ‘menjatuhkan’ Erdogan pada Pilihan Raya Presiden Turkiye baru-baru ini. Namun dengan sokongan padu dan mandat yang diberikan rakyat Turkiye kepada Erdogan, insya-Allah Turkiye mampu bangkit mencapai kegemilangan serta menjadi peneraju utama dalam kalangan umat dan Dunia Islam.
“Malaysia Sejahtera”
YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 18/6/2023