PAS juarai program dakwah, kebajikan

- Advertisement -

SANDAKAN: PAS bukan hanya fokus kepada politik, namun menggerakkan agenda dakwah dan kebajikan bagi membantu rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, politik bukan suatu agenda yang menjadi fokus PAS semata-mata, namun menyampaikan dakwah dan kebajikan yang bertunjangkan al-Quran dan sunnah.

“Kerajaan negeri yang ditadbir PAS, iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah berpandukan al- Quran dan hadis yang terbukti melahirkan sebuah pentadbiran yang bersih, tidak culas dan tiada kes salah guna kuasa,” katanya pada majlis perasmian program Membina Keluarga Bahagia di Masjid Asmaul Husna, Kampung Tinusa 2, dekat sini semalam.

Turut hadir Exco Dewan Muslimat PAS Malaysia, Asmak Hussin, ahli jawatankuasa PAS Libaran dan pimpinan PAS tempatan.

Sementara itu, Asmak ketika menyampaikan ceramah berkata, terlalu banyak cabaran mendatang yang mampu mengancam akidah umat Islam.

“Kemajuan teknologi menjadikan terlalu banyak perkara negatif yang muncul dalam sosial media yang boleh mempengaruhi minda anak-anak muda ke arah kerosakan jika tidak dibendung,” katanya.

Oleh itu, menurutnya umat Islam perlu rajin mempelajari cara hidup Islam yang sebenar bagi membendung gelaja yang tidak sihat dalam masyarakat.

Pada majlis itu, Asmak turut menyampaikan sumbangan berbentuk pek barangan asas kepada 60 keluarga asnaf sekitar kampung berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -