Anak muda PAS persada Islam ke medan umat

- Advertisement -

SHAH ALAM: Anak muda terus menjadi golongan teramai yang menyerlahkan kecenderungan kepada Islam di sebalik cabaran ideologi yang tidak sedikit menggugat akidah dan cara hidup mereka.

Ketua Penerangan Kelab Remaja PAS Malaysia, Muhammad Nabil Ahnaf Saipol Bahari, hedonisme telah menyebabkan ketaksuban kepada hiburan hingga mengundang kepada perbuatan dilarang agama.

Sehubungan itu beliau menyeru anak-anak muda dalam gerakan Islam seperti PAS untuk memainkan peranan dakwah melalui hiburan, sukan dan media sosial bagi menghadapi fitnah akhir zaman itu.

“Kita perlu menunaikan peranan yang penting kita istiqamah dalam menyampaikan dakwah kepada anak muda, janganlah sesekali kita berputus asa,” serunya pada Ijtimak Tarbawi 9.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di i-City Convention Centre, di sini semalam.

Beliau juga mengajak anak-anak muda PAS menjadi penganjur program kesedaran, pembangunan insan dan kemasyarakatan dalam menyampaikan Islam sebagai panduan kehidupan kepada semua.

Nabil Ahnaf turut mengingatkan pentingnya dakwah diperluaskan kepada kalangan bukan-Islam dengan menghormati mereka dan menunjukkan keindahan Islam, selain menjelaskan tiada pemisah antara agama dan politik 

Pengerusi Siswa PAS, Kamil Arif Baihaqi pula mengingatkan anak muda PAS agar bersedia dengan tarbiyah diri agar mampu menjadi cerminan umat dan generasi terbaik sebagaimana pernah dilahirkan Rasulullah SAW.

Katanya, anak-anak muda PAS mesti menyerahkan dirinya kepada Allah dan Rasul serta mewakafkan diri kepada perjuangan Islam, selain berusaha menjadikan kehidupannya menjejaki langkah para Sahabat RA.

“Merekalah pemuda yang ditarbiyah pada sudut rohani dan pembinaan fitrah yang jitu diiringi dengan peredaran zaman,” ujarnya mengingatkan bahawa kerja jihad adalah terhasil dari kesempurnaan tarbiyah.

Beliau menukilkan kepentingan pembangunan akidah sebagaimana dilaksanakan Rasulullah semasa di Makkah dan jihad serta pengorbanan semasa di Madinah al-Munawwarah.

Kamil turut menyentuh mengenai amanah kepimpinan yang merupakan tanggungjawab berat di mana pasti berdepan mehnah dan tribulasi serta musuh sentiasa menghala peluru di sepanjang zaman.

Nasihat beliau lagi, anak muda PAS sebagai gerakan tajdid dan siasah jangan terlalu mendahului atau mengangkat akal semata-mata tanpa merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah.

“Ayahanda Tuan Guru Presiden acap kali mengulangi, mengingatkan kepada kita semua ahli-ahli PAS, pemuda-pemudi, mahasiswa mahasiswi supaya tidak terpedaya dengan dakyah sesetengah mereka yang mengutamakan Maqasid Syariah (kononnya).

“Namun, meninggalkan al-Quran. Mereka katakan membawa perjuangan Islam. Namun hakikatnya mereka telah tersasar jauh daripada perjuangan Islam yang hakiki,” ujarnya mengingatkan fenomena khilaf dan terpesona dengan pemikiran sendiri.

Wakil Jabatan Pembangunan Mahasiswa, Mohd Izzuddin Aziz dalam pidatonya menyentuh mengenai kemenangan Islam yang merupakan kurniaan pemberian daripada Allah SWT.

“Kemenangan tidak datang bergolek. Tidak turun daripada langit ibarat hujan. Akan tetapi ianya ditanam, disemai, dibaja dalam melahirkan seorang mukmin untuk mencapai kemenangan,” jelasnya.

Beliau menghurai mengenai metodologi dakwah dan cabaran yang dihadapi terutama kebejatan moral dan normalisasi maksiat mesti ditangani oleh anak-anak muda gerakan Islam hari ini.

Izzuddin menyeru anak-anak muda PAS mempersiapkan diri untuk bergelumang dalam masyarakat, bergaul dan bersabar dengan segala kerenah mereka serta menjadi perantara urusan umat.

Wakil Jabatan Pembangunan Mahasiswa Luar Negara, Muhammad Faris Muhammad Ismi pula dalam ucapannya menegaskan mengenai sifat dan getak kerja generasi pewaris perjuangan Islam.

Menurutnya, mereka itu sentiasa melakukan penambahbaikan dalam masyarakat, terutama membebaskan daripada syirik dan kemungkaran kepada Allah dengan membimbing kepada Islam.

Katanya, semua perbuatan menganiaya diri dan orang lain mesti dipimpin kepada hidayah Allah dan kepada fitrah yang sebenar-benarnya yakni Islam hingga mendapat rahmat dari-Nya.

Kesesatan dialami manusia ujarnya, mesti diluruskan dengan kitab al-Quran diturunkan Allah SWT dan as-Sunnah diwariskan Baginda Nabi Muhammad SAW, selain menjauhi manusia dari maksiat.

Anak muda PAS juga serunya, mesti membincangkan mengenai pelapis kepimpinan masa depan yang mengikut acuan Allah SWT dan berusaha menyelamatkan manusia dengan Islam. – HARAKAHDAILY 17/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -