BAGI mereka yang jarang mengikuti isu politik, ada beberapa kaedah bagi menilai keupayaan seseorang pemimpin dan kerajaan.
Di era kerajaan PH-BN agak lebih terserlah, anda boleh mengikuti siaran langsung hujah Perdana Menteri ketika bersoal jawab di parlimen.
Tunggu jam 10 pagi setiap hari Selasa. Namun ia hanya berlaku ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung. Boleh tengok siaran langsung melalui TV1 atau RTM-Parlimen secara online.
Generasi pengundi muda pastinya ada yang kagum. Namun generasi pertengahan, ada yang menggaru kepala. Ada ketika mengheleng kepala. Jarang beraksi mengangguk tanda setuju.
Jangan marah kalau ada yang berhujah jawapan perdana menteri ada ketika tergantung. Maksudnya tiada penghujung.
Ia bukan omongan lagi. Ada banyak dalil yang berlaku. Antaranya isu pendirian sebenar kerajaan berhubung isu tajaan pelajar perubatan, pergigian dan farmasi.
Pada 10 Jun lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Armizan Mohd Ali dilapor menyebut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan tajaan pelajar perubatan, pergigian dan farmasi.
Alasannya kerana jumlah pegawai perubatan melebihi permintaan. Kata Armizan pada tahun 2021 terdapat seramai 72,718 doktor, sedangkan permintaan 70,721.
Tentunya kita tidak pernah lupa, sudah lama riuh rendah pesakit terpaksa menunggu lama bagi mendapat rawatan. Maknanya jumlah doktor tidak ramai.
Isu penajaan JPA pada awalnya dibangkit ahli parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan. Dan ia dijawab secara bertulis pada 8 Jun lalu.
Apa pun kita amati jawapan Perdana Menteri. Pada 13 Jun Anwar Ibrahim memberitahu di Dewan Rakyat, penamatan itu dibatalkan dan tajaan disambung semula.
Kata Wan Saiful, tiga hari sahaja keputusan berubah. “Tak ada apa-apa kajian dipetik sebagai hujahan balas terhadap kajian yang dia sendiri petik dalam jawapan parlimen.
“Kalau saya tak timbulkan isu ini, entah-entah pembatalan itu akan diteruskan senyap-senyap,” kata ahli parlimen terbabit.
Stigma
Bagi mereka yang mengikuti siaran langsung juga boleh mendengar Perdana Menteri menyebut keputusan itu dibuat kerajaan lama. Tentu anehkan. Sedangkan sebelum ini tidak kedengaran pengumuman penamatan tajaan terbabit.
Kata Wan Saiful “kalau kamu tak setuju, yang kamu umum dan pertahan dalam parlimen kenapa? Sebab itulah bagi saya kerajaan Anwar tidak kompeten dan cuai dalam bekerja. Umum saja dulu, dan kemudian ubah,” ujarnya.
Wan Saiful juga menyifatkan Perdana Menteri tidak menghormati institusi parlimen kerana memberi jawapan sambil lewa yang boleh diubah dengan begitu mudah.
Itu antara contoh pengundi generasi baharu boleh fahami. Sebelum itu pada 6 Jun, ribut isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat.
Peraturan sejak merdeka, LKAN hanya diletakkan di atas meja (lay on the table) setiap Ahli Parlimen, namun bukan untuk dibahas.
Seorang peguam Mohd Shafie Ngah berhujah LKAN disediakan pegawai kerajaan untuk disemak oleh kerajaan dan Ahli Parlimen.
“Laporan itu dibentang dan dibahas dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC). PAC ialah jawatankuasa khas Parlimen.
“PAC boleh memanggil mana-mana pegawai kerajaan atau mana-mana jabatan, jika perlu, untuk menjelaskan apa-apa persoalan atau kekeliruan. Selepas itu biasanya PAC akan memberi laporan kepada Parlimen,” katanya.
Namun, hujah pembangkang ditolak Speaker dan LKAN tetap dibahas. Sebelum itu Ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) bangun silih berganti.
Antaranya Takiyuddin Hassan, Dr Ronald Kiandee, Mas Ermieyati Samsudin, Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Shahidan Kassim dan ramai lagi. Mereka memberi hujah dan pandangan, namun tetap ditolak Speaker.
Menurut Mohd Shafie, jika pun Speaker membenarkannya, dengan alasan bahawa Speaker ada kuasa, tindakan itu sangat tidak adil kepada kakitangan kerajaan yang terdedah kepada tohmahan, sedangkan mereka tidak berupaya menjelaskannya.
Tindakan Speaker membenar sesi perbahasan menyebabkan 74 ahli parlimen PN memprotes. Mereka keluar beramai-ramai. Langkah itu dipuji ramai penjawat awam. Mereka seperti dibuli ahli parlimen kerajaan.
Apa kesudahannya. Ia sekadar riuh rendah menyalahkan pegawai itu, pegawai ini. Ternyata ia tidak ke mana-mana. Kesudahannya LKAN masuk semula ke gelanggang PAC.
Mas Ermieyati sebagai Pengerusi PAC memberitahu akan memanggil beberapa pihak termasuk Ketua Setiausaha (KSU) empat kementerian sepanjang bulan ini.
Ia bagi menjelaskan isu dibangkitkan di bawah kementerian terbabit.
Keputusan itu dibuat selepas sesi taklimat Jabatan Audit Negara berhubung Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2.
Catatan di atas adalah sebahagian plot yang berlaku sekarang. Namun ia sudah memadai bagi memandu pengundi muda membuat percaturan. Pilihan Raya Negeri antara detik terdekat. – HARAKAHDAILY 15/6/2023