Guna teknologi robotik dalam industri getah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mencadangkan penggunaan teknologi robotik untuk menangani masalah kekurangan pekerja sebagai antara tindakan untuk meningkatkan kemajuan industri getah negara.

Katanya, isu berkenaan sering diperkatakan menyebabkannya ingin tahu langkah kerajaan menangani masalah itu.

- Advertisement -

“Adakah kerajaan bersedia ke arah seperti penggunaan teknologi seperti di negara China atau Thailand yang menggunakan automasi robotik.

“Apakah kajian yang dibuat oleh kementerian atau Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi menangani isu ini serta berapakah yang telah dibelanjakan dalam penghasilan untuk penggunaan automasi ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Azman berkata, faktor umur, penyakit kulat dan serangan pestalotiopsis menyebabkan sektor getah semakin ditinggalkan.

“Harga pemborong masih rendah walaupun kerajaan menetapkan harga lantai RM2.70 sen per kilogram. Ini adalah antara faktor sektor ini semakin ditinggalkan dan pokok getah tidak boleh ditoreh,” katanya.

Sementara itu mengikut soalan asal, beliau meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan bantuan segera yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu penoreh serta pekebun kecil getah dalam menangani musim panas dan penyakit daun yang mengakibatkan hasil susu getah berkurangan serta hasil lawatan kerja menteri ke Eropah dan sidang yang dihadiri oleh menteri dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit Malaysia dan rantau ASEAN.

Menjawab soalan ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kementerian ketika ini tidak melaksanakan bantuan segera kepada pekebun kecil bagi menangani musim panas.

Bagaimanapun, mengambil kira kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah, bantuan segera secara bulanan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) diteruskan.

“Sejak pelaksanaan IPG pada September 2015 sehingga 31 Disember 2022, bantuan telah diagihkan kepada 210,000 pekebun kecil di seluruh negara dengan nilai pembayaran berjumlah RM448 juta.

Sementara itu, bagi menangani penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis, katanya Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah diperuntukkan keseluruhan RM14.9 juta untuk Siri 1 dan Siri 2 bagi mengawal penyakit LDP dalam tahun 2023 sehingga 2024. – HARAKAHDAILY 15/6/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!