Bunuh diri kalangan remaja membimbangkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesihatan mental serta tekanan emosi kini menjadi antara isu kesihatan awam yang menjadi semakin penting terutama pada era pasca pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Zakri Hassan (PN-Kangar) berkata, ini kerana isu kesihatan bukan sahaja dari segi fizikal, malah aspek mental dan sosial.

Sehubungan itu, katanya perkembangan yang membimbangkan berkaitan kesihatan mental ialah tingkah laku bunuh diri.

“Berdasarkan data kes bunuh diri pada 2020 terdapat 631 kes, 2021 meningkat kepada 1,142 kes,” katanya ketika membahaskan Usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNICEF) merekodkan 12.3 peratus remaja berumur antara 10 hingga 17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah mental dan cenderung untuk membunuh diri.

“Namun, isu ini bukan setakat di Lembah Klang, malah berlaku di tempat lain negara kita. Persoalannya kenapa remaja sekarang begitu mudah bertindak demikian malah, sebutan bunuh diri bermain-main di mulut pelajar,” katanya.

Zakri berpandangan bahawa isu ini perlu ditangani bersama oleh semua pihak dan bukan hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya sebagai bekas pendidik selalu dengar perkataan ini, terutama pelajar tingkatan empat, lima dan enam seperti menjadi satu fenomena yang bahaya.

“Jadi apakah tindakan KKM bagi menangani masalah ini dan bukan setakat KKM sahaja, kementerian lain perlu membantu,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!