KOTA BHARU: Sebagai menghargai peranan Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, kerajaan negeri melantik pemimpin parti terbabit sebagai penghulu.
Anggota Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, seramai 45 pemimpin Bersatu dilantik sebagai penghulu tanpa mukim, manakala sembilan lagi mewakili Gerakan.
Katanya, penghulu dari Bersatu dilantik sebagai Penghulu Tanpa Mukim Dun, manakala Gerakan pula Penghulu Tanpa Mukim Parlimen.
“Pelantikan itu berkuatkuasa 1 Mei lepas. Jumlah penghulu terbabit sebagai tambahan kepada penghulu yang sedia ada sekarang.
“Penghulu Tanpa Mukim Parlimen mewakili Gerakan daripada pelbagai termasuk Cina dan Siam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya pelantikan dibuat hasil kerjasama erat parti komponen PN di Kelantan yang dianggotai PAS, Bersatu dan Gerakan.
Kelantan merupakan antara negeri pertama di negara ini yang melantik wanita sebagai penghulu di setiap Dun yang juga dikenali sebagai Penghulu Tanpa Mukim.
Malah ramai pemimpin masyarakat Cina, Siam, India dan Orang Asli dilantik sebagai penghulu bagi memudahkan komuniti terbabit menyalur maklumat berkaitan mereka kepada kerajaan.
Dan pada 21 Mac lepas kerajaan Kelantan menaikkan elaun penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500 sebulan.
Sehingga sekarang Kelantan antara negeri di Malaysia yang membayar elaun agak tinggi sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penghulu. – HARAKAHDAILY 14/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!