KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) mengumumkan menambahkan destinasi baharu dalam pakej pelancongan ke Turkiye di bawah kendaliannya, iaitu Laut Hitam (Black Sea).
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, Laut Hitam jarang diterokai oleh rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu; dan lokasi tersebut mempunyai pemandangan lembah yang sangat cantik seperti di Kashmir dan Switzerland.
“Ini merupakan satu kelainan baharu sebab sudah ramai sangat orang Malaysia pergi ke Istanbul dan Bursa di Turkiye, jadi kita cuba pergi ke tempat lain pula (di Turkiye), dan Laut Hitam saya rasa, orang ramai pasti mahu melihat pemandangannya yang sangat cantik itu,” katanya.
Menurutnya, pada tahun ini, Andalusia Travel menyasarkan lebih kurang dalam 500 orang ke destinasi di Laut Hitam dan ini mungkin satu peluang yang baik untuk mereka ingin melihat keindahan alam semulajadi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Andalusia Travel dan Turkish Airlines musim 1445H di Intercontinental Hotel, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Md Daud Che Ngah; Pengurus Turkish Airlines di Malaysia, Muhammad Hamza Arslan; dan Pengurus Jualan Turkish Airlines, Zeynab Soumez.
Ida Riswana turut menyatakan bahawa lawatan ke Laut Hitam di bawah kendalian Andalusia Travel ini hanya terdapat dalam pakej pelancongan dan buat masa ini, tidak disertai dalam pakej umrah ziarah Istanbul memandangkan lokasinya yang agak jauh dari Arab Saudi (lokasi umrah di Makkah).
Tandatangani kontrak baharu RM29 juta
Dalam pada itu, syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah tersohor tanah air itu juga mengumumkan bakal meningkatkan lagi kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa, Turkish Airlines untuk menguruskan hampir 7,000 penerbangan umrah ziarah Istanbul dari Julai 2023 hingga April 2024.
“Maka, Andalusia meneruskan kerjasama tersebut dengan menandatangani Protocol Agreement (kontrak tahunan) dengan Turkish Airlines bagi musim umrah tahun 1445 Hijrah dengan kontrak yang bernilai lebih dari RM29 juta,” ujarnya.
Kerjasama itu merupakan susulan hasil daripada kejayaan Andalusia Travel menerbangkan 10,000 rakyat Malaysia ke Turkiye sama ada dalam tujuan pelancongan atau ziarah Istanbul Bursa sebelum menunaikan umrah.
Tambah Ida Riswana, pihak Andalusia Travel sentiasa mengekalkan kerjasama dengan Turkish Airlines susulan jalinan kerjasama yang sudah bermula sejak bulan Mei 2010 lagi.
“Sepanjang tempoh itu, Andalusia dapat merealisasikan hasrat ribuan umat Islam ke Turkiye yang menjanjikan pelbagai tempat menarik termasuk Trabzon, Rise, Amasya dan yang terbaharu adalah Laut Hitam,” jelasnya.
Beliau berharap dengan kerjasama ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya bakal jemaah umrah kepentingan mencari pengendali umrah yang bersedia dengan tiket dan penginapan.
“Dari sudut prinsip, kami tidak boleh menjual apa-apa ‘barangan’ selagi ia tiada. Andalusia akan terus melebarkan pemasaran ke seluruh negara bagi menyedarkan orang ramai bahawa penting untuk berurusan dengan syarikat yang boleh menjamin bahawa semua pakej yang ditawarkan mempunyai tiket yang terjamin.
“Niat kami adalah sedaya upaya mengekalkan harga pakej umrah serendah mungkin supaya boleh membuka peluang kepada lebih ramai umat Islam berkunjung ke Baitullah,” katanya.
Pakej 16 malam RM10,500
Tambah beliau, jika sebelum ini pelancong perlu membeli dua tiket penerbangan berasingan ke Turkiye dan Makkah, namun dengan pakej yang ditawarkan Andalusia Travel, semuanya sudah tersedia.
“Ramai orang yang biasanya dah pergi umrah sekali dan selepas itu mesti akan mencari Istanbul sebab itu antara destinasi yang terdekat, dan yang popular di Turkiye ialah Istanbul
“Sehubungan itu, harga pakej umrah Istanbul yang ditawarkan Andalusia Travel untuk bilik (sahaja) yang boleh memuatkan empat orang bermula daripada RM10,500 selama 16 malam secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Muhammed Hamza berkata, kejayaan kerjasama dengan Andalusia Travel sebelum ini kini diteruskan lagi pada tahun 1445 Hijrah.
“Kerjasama yang diperbaharui antara Andalusia Travel dan Turkish Airlines ini akan menjadi pendorong kepada kami untuk terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penumpang sekali gus memberi pengalaman perjalanan yang tidak akan dilupakan.
“Sehingga kini, kami telah mengendalikan 10 penerbangan setiap minggu dan kekerapan itu akan ditingkatkan kepada 12 penerbangan setiap minggu bermula 8 Ogos ini.
“Justeru, kami merancang untuk mengembangkan penerbangan harian dua kali ganda mulai 12 September 2023,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2023