Kelantan tawar biasiswa YAKIN untuk Syahril

- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan Negeri bersetuju memberi biasiswa Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) kepada pelajar cemerlang Mohd Syahril Saidi bagi membolehkan meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, biasiswa itu membolehkan pelajar terbabit meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negeri.

Katanya Mohd Syahril merupakan pelajar soleh yang berbakti kepada orang tua di samping gigih menuntut ilmu.

“Semoga ia menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain dan sentiasa diberkati Allah SWT. Insya-Allah,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu Menteri Besar menziarahi pelajar terbabit di rumahnya di Kampung Kandis. Hadir sama Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Engku Rajhan Engku Ismail, Adun Pantai Irama Mohd Huzaimy Che Hussin, pegawai-pegawai kanan YIK dan wakil YAKIN.

Syahril muncul pelajar cemerlang SPM 2022 dengan memperolehi 11A. Beliau juga pernah dinobatkan pelajar terbaik peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Iman, Beris Lalang.

Kisahnya hidup menarik perhatian ramai apabila pihak sekolah menghantar keputusan peperiksaan SPM ke rumahnya kerana beliau terpaksa menjaga ibunya yang terlantar sakit.

Bagaimanapun ibunya meninggal dunia Sabtu lepas selepas dua hari berkongsi gembira dengan kecemerlangan anaknya. – HARAKAHDAILY 14/6/2023