KUALA LUMPUR: Isu penilaian yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memberikan bantuan kepada mana-mana pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) hangat dibangkitkan di sidang parlimen Dewan Rakyat.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) memetik isu pelajar Muhammad Syahril Saidi, yang mendapat 11A dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dalam perbahasan SUHAKAM di sini, hari ini.
“Dalam kes adik Syahril sekarang yang tular sekarang ini, dia adalah pelajar cemerlang SPM yang mendapat 11 A, dan merupakan penerima bantuan kanak-kanak JKM.
“Namun, dia buat keputusan untuk sambung pelajaran di STAM, sekolah yang lebih kurang sama (tahap pendidikan) juga dengan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“(Apabila) saya tanya, pihak JKM kata tidak dapat memberikan (meneruskan) bantuan (pelajaran) terhadap pelajar tersebut kerana STAM tak dikira sebagai sambung belajar,” katanya.
Sehubungan itu, dalam perbahasan tersebut, beliau memohon agar diadakan perbincangan di antara JKM dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai isu tersebut.
“Saya minta dalam perbahasan SUHAKAM ini supaya perkara ini dapat dibincangkan di antara JKM dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Sekiranya kalau pelajar yang menduduki SPM masih dapat Bantuan Kanak-Kanak di bawah JKM, tetapi bila ambil (belajar) STAM tidak mendapat sebarang bantuan, jadi inilah yang penting kepada kanak-kanak yang tengah belajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!