KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melaksanakan mekanisme sokongan menerusi perjanjian memudahkan penggunaan mata wang negara rakan pelaburan dalam pembayaran perdagangan.
Kementerian Kewangan memaklumkan, ia penting untuk memudahkan pembangunan dan kesediaan pasaran bagi menerima penggunaan pelbagai mata wang di mana akan dipersembahkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Jawapan itu diberikan kepada pertanyaan lisan Datuk Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) ketika sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.
“Agar Malaysia sentiasa bersedia untuk menerima peningkatan dalam penggunaan mata wang tempatan serantau untuk perdagangan dan pelaburan,” jelas jawapan diberikan kepada soalan diajukan.
Ahmad Marzuk meminta Kementerian Kewangan menyatakan usaha Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap wang Dolar Amerika Syarikat bagi mengukuhkan ekonomi dan nilai Ringgit Malaysia.
Dewan diberitahu, perjanjian yang telah dimeterai adalah pengaturan mata wang dengan People’s Bank of China (PBC) pada 2009 di mana ini memudahkan lagi penggunaan mata wang Renminbi dan Ringgit.
Sidang juga dimaklumkan, penggunaan mata wang selain dari Dolar AS adalah tertakluk kepada permintaan oleh perniagaan di mana terdapat beberapa sebab yang boleh menjelaskan penggunaannya sebagai mata wang pembiayaan dan perdagangan global.
“Sebagai contoh, kebanyakan perniagaan lebih gemar menggunakan instrumen kewangan dan berurus niaga dalam mata wang yang mempunyai pasaran kewangan yang besar dan terbuka,” terang jawapan itu.
Jelas jawapan tersebut, perkara ini akan membantu memastikan akses pantas kepada mudah tunai terutamanya dalam tempoh kecemasan dan bagi meminimumkan risiko mudah tunai dan kredit.
Difahamkan, para pelabur, bank dan perniagaan lebih cenderung untuk menggunakan instrumen kewangan dalam denominasi Dolar itu yang mempunyai pasaran bon terbesar dan kecairan tertinggi di dunia.
“Selain itu, memandangkan kira-kira 70 peratus daripada perdagangan global diurus niaga dalam Dolar, pengeksport lebih gemar untuk menetapkan invois barangan eksport dalam mata wang yang sama seperti yang digunakan oleh pesaing dan peserta pasaran lain.
“Hal ini dapat membantu mengekalkan daya saing dan kestabilan harga berbanding pesaing tanpa terdedah kepada kos turun naik kadar pertukaran mata wang asing memandangkan penggunaan strategi harga yang berbeza mengikut negara atau mata wang boleh mendedahkan pengeksport kepada risiko mata wang yang lebih tinggi.
“Namun begitu, Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) telah mempelopori beberapa inisiatif untuk menggalakkan penggunaan mata wang serantau secara lebih meluas bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Dolar Amerika Syarikat,” jawabnya.
lnisiatif tersebut dimaklumkan, termasuk Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (Local Currency Settlement Framework, LCSF), dengan setakat ini Malaysia mempunyai pengaturan LCSF dengan Indonesia dan Thailand. – HARAKAHDAILY 13/6/2023
Usaha kurangkan kebergantungan kepada Dolar AS
- Advertisement -