Takiyuddin bangkit isu persempadanan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkara penting membabitkan kedaulatan negara yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan ditanya oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Takiyuddin yang juga Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL (PN) melalui soalan nombor dua bertanya:

“Minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan kerajaan bahawa perjanjian penyelesaian sempadan yang baru ditandatangani antara Malaysia dengan Indonesia tidak akan menjejaskan hak kedaulatan dan merugikan negara, khususnya kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritim dalam jangka masa panjang.”

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dijangka menjawab soalan ini.

Muhyiddin ketika berucap pada pentas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di D’Cattleya, Senawang, dekat Seremban, Sabtu lalu, menggesa Anwar memberi penjelasan secara terbuka berhubung isu persempadanan yang dimeterai menerusi beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan Indonesia baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, tindakan kerajaan yang disifatkan ‘semberono’ itu dilihat dibuat tanpa mengambil kira impak secara menyeluruh.

Ini kerana, katanya terdapat laporan yang menyatakan Perdana Menteri mengenepikan pandangan pakar sedangkan isu berkaitan persempadanan yang jelas membabitkan kedaulatan negara itu, tidak boleh dikompromi.

“Saya tak tuduh Perdana Menteri. Saya hendak minta dia beri penjelasan atau kenyataan, keterangan kepada rakyat secara terbuka, tak payah diselindungkan, apa yang dia telah meterai dalam perjanjian itu.

“Kerana, ada laporan yang beritahu, pakar-pakar maritim nasihat, Perdana Menteri jangan tanda tangan. Kalau dia nasihat jangan tanda tangan, (maknanya) ada perkara-perkara tertentu,” kata Muhyiddin.

Sebanyak tiga soalan ditanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. Dua lagi soalan ditanya oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) dan Tan Kar Hing (PH-Gopeng)

Sementara itu ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, sebanyak 157 soalan ditanya oleh keseluruhan Ahli Parlimen. Daripada jumlah itu, 10 soalan Ahli Parlimen PN yang menduduki senarai teratas ialah seperti berikut:

No 2
Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) minta Menteri Kewangan menyatakan rasional penjualan aset kompleks produksi filem dan televisyen Iskandar Malaysia Studios (IMS) seluas 49 ekar yang bernilai RM32 juta di Iskandar Puteri, Johor Bahru kepada sebuah firma Singapura.

No 4
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan kesan perubahan cuaca, ancaman bencana alam, serangan penyakit dan perosak terhadap pengeluaran bahan makanan di negara ini sepanjang dua tahun lalu serta langkah mitigasi yang telah diambil untuk mengurangkan impaknya terhadap
sekuriti makanan negara.

No 6
Zahari Kechik (PN-Jeli) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah tindakan dan langkah Kerajaan terhadap isu kependudukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang mendiami tanah kerajaan sebagai tempat tinggal.

No 8
Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan perancangan kementerian bagi memperluaskan penanaman komoditi lada hitam di Semenanjung seperti mana yang dilaksanakan di Setiu.

No 10
Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah usaha untuk mengesan warga China yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong tapi tidak pulang ke negara asal sehingga sekarang.

No 12
Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) minta Menteri Kewangan menyatakan:-
(a) sejauh mana usaha Kerajaan untuk memastikan orang awam berkenaan menuntut semula Wang Tidak Dituntut (WTD) sejak sekian lama yang beranggaran RM11 bilion dan
(b) bagaimana kerajaan menggunakan faedah yang diperoleh sebanyak RM250 juta hasil pelaburan WTD dalam simpanan tetap.

No 14
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan inisiatif bagi menyokong bakat anak tempatan untuk bersaing dalam pertandingan melibatkan kesenian dan kebudayaan di pentas antarabangsa, agar potensi mereka dapat dimanfaatkan untuk mempromosi Malaysia dan menjana pendapatan negara menerusi industri kreatif.

No 16
Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) minta Menteri Sains, Terknologi dan Inovasi menyatakan jumlah dana yang telah disalurkan menerusi dana Pembiayaan Mudah Tunai untuk Pemula Niaga Teknologi (LIFTS) dan sejauh mana Skim Jaminan Dana Mikro Penerokaan Teknologi MDV mendapat sambutan.

No 18
Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan implikasi yang berlaku kepada sektor pertanian akibat cuaca panas yang dijangka bakal berlarutan sehingga Ogos depan.

No 20
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) minta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah bagi meningkatkan peratus pampasan pekerja atau compensation of employees (CE) kepada KDNK yang setakat 34.8% pada tahun 2021 berbanding Singapura (39.9%), Korea Selatan (47.5%) dan UK (48.7%). – HARAKAHDAILY 13/6/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!