Lebih 2,000 penyelidikan klinikal sejak 2012

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lebih daripada 2,000 penyelidikan klinikal telah dijalankan di Malaysia iaitu melibatkan bidang terapeutik onkologi, kardiologi dan penyakit berjangkit sejak 2012.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), daripada bilangan itu, sejumlah RM 1.025 billion telah dijana melalui aktiviti penyelidikan klinikal negara.

Katanya, hasil pendapatan itu dikumpul melalui perjanjian penyelidikan klinikal yang dimeterai antara pihak penaja penyelidikan klinikal yang terdiri daripada syarikat-syarikat farmaseutikal dan bioteknologi antarabangsa dengan tapak-tapak kajian, iaitu antaranya hospital dan klinik kesihatan awam serta universiti hospital dan hospital swasta.

Tambah KKM, melalui penyelidikan klinikal yang dijalankan dalam negara, banyak peluang pekerjaan baru telah dihasilkan, dengan lebih daripada 2,600 pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan dalam industri penyelidikan klinikal dalam negara.

KKM memaklumkan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Dr. Alias Razak [PN-Kuala Nerus] di Dewan Rakyat, semalam.

Dr Alias meminta menteri berkenaan menyatakan perincian mengenai pelaburan langsung asing (FDI) dalam penyelidikan klinikal negara khususnya bidang kardiologi, onkologi, reumatologi, kesuburan dan penyakit genetik, dan berapakah bilangan pakar kesihatan tempatan dalam bidang-bidang berkenaan.

Berhubung bilangan pakar kesihatan tempatan dalam bidang-bidang yang dinyatakan, ujar KKM oleh berdasarkan rekod Majlis Perubatan Malaysia sehingga Mei 2023 terdapat 382 orang pakar berdaftar dalam bidang kardiologi, 145 (onkologi), 100 (rheumatologi), 50 (kesuburan) dan seorang pakar patologi genetik. – HARAKAHDAILY 13/6/2023

- Advertisement -