Apa jadi Skim Insurans Takaful Agromakanan?

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mempersoalkan keseriusan kerajaan melaksanakan Skim Insurans Takaful Agromakanan yang pernah hendak dilaksanakan kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) sebelum ini.

Advertisement

Bekas peneraju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) berkata, MAFI ketika itu berjaya mengatasi pelbagai halangan untuk merealisasikan idea itu.

Namun, katanya sehingga kini sudah banyak kali tarikh akhir pelaksanaan skim itu dinyatakan oleh kementerian baharu dan masih belum menjadi kenyataan.

“Apakah halangan, sama ada Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan atau agensi kerajaan lain yang tidak melihat keperluan mewujudkan Skim Insurans Takaful Agromakanan yang perlu dipercepatkan?

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald juga ingin tahu adalah kerajaan akan meningkatkan bantuan dan subsidi kepada kumpulan petani, peladang dan penternak untuk mengatasi masalah hasil yang dijangka berkurangan akibat perubahan cuaca, ancaman bencana alam, serangan penyakit dan perosak sepanjang dua tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kementeriannya sedang aktif melaksanakan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sebelum mengembangkan skim takaful di subsektor lain.

“Pelan pelaksanaan STTP baru sahaja mendapat kelulusan awal BNM dan ketika ini, Agrobank sedang menyediakan rangka kerja pengoperasian terperinci sebelum diajukan kepada BNM untuk proses kelulusan, selewat-lewatnya sebelum 21 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, katanya kementeriannya menerima peruntukan tambahan sebanyak RM8 juta dari Kementerian Ekonomi untuk pembayaran pampasan atau pembangunan semula kepada warga tani yang tanaman mereka mengalami kerosakan. – HARAKAHDAILY 13/6/2023