KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoalkan tindakan kerajaan PH-BN membentangkan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 sedangkan kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) melakukan tindakan yang tepat ketika pandemik itu.
Katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga mengesahkan bahawa perbelanjaan kerajaan PN untuk menangani Covid-19 adalah betul.
“Penyakit (Covid-19) merebak ke seluruh dunia dan kita beri vaksin. Yang kita pening kepala, kenapa kerajaan pertikai dengan buat kertas putih?
“Sebab masa itu, (jika) kita tak saring orang, mungkin dah ramai orang kena Covid-19, kita tak tahu. Tapi bila kerajaan (PN) serius tentang perkara itu dengan membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya juga masuk dalam kerajaan (menganggotai kerajaan) pada masa itu, kita pun buat kerja dengan serius dan syukur rakyat selamat .
“YB Kota Raja (Datuk Seri Mohamad Sabu) pun selamat, semua selamat. Alhamdulillah, kita semua selamat dan PAC telah mengesahkan bahawa perbelanjaan yang dibuat adalah betul dan benar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementarta itu, ketika membalas celahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor), Shahidan berkata Dzulkefly perlu menceritakan keadaan ‘huru-hara dan kelam-kabut’ ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah kerajaan pada peringkat awal.
“Selepas Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ambil alih dan kemudian Ahli Parlimen Bera, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ambil alih, kita lihat banyak perkara-perkara (positif) dalam kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!