Mujahadah di penghujung malam

- Advertisement -

HAMBA Allah S.W.T yang ingin mendekatkan hati kepada Allah S.W.T akan sentiasa memenuhi ruang masa sepertiga akhir malamnya dengan beribadah kepada Allah S.W.T dan siang harinya, mereka akan bekerja mencari dunia untuk kehidupannya. Allah S.W.T memuliakan akhir-akhir malam ini dengan menyebutkan di dalam al-Quran mengenai amalan-amalan hamba-Nya yang soleh.

Amalan orang yang soleh

- Advertisement -

“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh) mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka,

“Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.””

(As-Sajda: 16 -17)

1. Sentiasa bangun malam berqiamullail, mengerjakan solat-solat sunat,kurang tidur untuk bangkit beribadah, memperbanyakkan doa dan munajat dan membaca al-Quran.

2. Sentiasa mengeluarkan harta dengan bersedekah dan kongsi kesenangan dengan orang lain.

Lihatlah penghuni syurga, Ketika mereka hidup di dunia, mereka merenggangkan diri dari tempat tidur. Mereka tidak menghabiskan malam dengan tidur dan istirehat tetapi ada waktu-waktu tertentu, mereka meninggalkan tempat tidurnya. Kenapa mereka berbuat demikian? Mereka mendirikan solat-solat sunat, berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Memohon doa kepada Allah S.W.T dengan pengharapan dan rasa takut dalam tangisan keinsafan.

Kadang-kadang kita melakukan pemusafiran menuju ke destinasi di malam hari. Contohnya, tiket kapal terbang pukul 5:00 pagi. Apa yang kita perlu persiapkan?  Kita kena bangun seawal satu pagi. Kita akan merancang jadual perjalanan dari rumah ke lapangan terbang dengan sebaiknya agar dapat naik kapal terbang tepat pada waktunya. Kebiasaannya, lapangan terbang dipenuhi oleh mereka yang ada urusan masing-masing sedangkan masa itu adalah waktu tidur mereka. Mereka sanggup berjaga selagi tidak selesai urusan.

Begitulah yang dilakukan oleh orang-orang yang soleh, mereka bangun di malam hari ketika orang lain nyenyak tidur, meninggalkan semua nikmat-nikmat tidur mereka sebab mereka ingin melaksanakan ibadah malam. Memang berat untuk bangun tetapi Allah S.W.T, sebutkan pahala yang menanti. Kalau arahan ketua di tempat kerja, kita boleh bergegas mentaatinya dan juga kita boleh berjaga untuk naik kapal terbang di waktu 5:00 pagi, kenapa perintah Allah S.W.T kita rasa berat untuk melaksanakannya? Sebab itu rasa takut dan harap mesti sentiasa hadir dalam hati dan diri kita. Seperti yang selalu Allah S.W.T gandingkan dalam al-Quran mengenai sebutan syurga dan neraka, agar kita berharap dimasukkan ke dalam syurga dan takut dimasukkan ke dalam neraka.

Dan mereka, orang-orang yang soleh juga tidak kedekut mendermakan sebahagian dari apa yang Allah S.W.T telah berikan kepadanya:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air – mata air terpancar padanya.

(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

(Adh-dhariyat: 15 – 19)

Mereka semasa di dunia, menjadi orang-orang yang muhsinin, orang-orang yang suka berbuat kebaikan. Apakah kebaikan yang mereka lakukan sehingga mereka boleh mendapatkan apa sahaja di dalam syurga Allah S.W.T? Mereka di malam hari, sedikit tidurnya. 

Sebanyak mana pun ibadah kita, sebanyak mana sedekah kita dan sebanyak mana bacaan al-Quran kita, kita masih insan yang banyak kekurangannya, banyak melakukan kesalahan, sebab itu setelah kita bangun di akhir malam, kita bersolat, berdoa dan akhirnya kita memohon ampun kepada Allah S.W.T, kerana kita tidak mampu melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Mereka, orang soleh ini juga suka bersedekah dan inilah bukti mereka tidak mencintai dunia, mereka ini bukan sekadar mencari dunia untuk kehidupannya tetapi mereka juga memburu akhirat. Allah S.W.T memerintahkan Nabi-Nya bangun di malam hari dan perintah ini juga untuk kita. Cuba lihat dalam surah al-Muzammil ayat 1 hingga 6 yang bermaksud:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Wahai orang yang berselimut!.

“Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

“Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

“Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan ‘Tartil’.

“(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).”

“Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”

(al-Muzammil : 1 – 6)

Membaca al-Quran di malam hari berbeza dari membaca al-Quran di siang hari. Apa lagi kalau kita membaca di dalam solat dan kita faham apa yang kita baca. Kalau Nabi S.A.W disuruh bangun malam dan Nabi S.A.W mentaatinya tetapi kenapa kita berat untuk bangun? 

“Dari Abu Umamah R.A dari Rasulullah S.A.W bahawa Baginda bersabda yang maksudnya: “Hendaklah kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah kebiasaan amalan orang-orang soleh sebelum kalian, dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, menghapus keburukan, serta mencegah dosa.””

(Hadis Riwayat Tirmizi No: 3472) Status: Hasan Sahih

Mereka, orang yang soleh ini menjadikan malam waktu untuk bermunajat dan memohon kepada Allah S.W.T. Jadi muhasabahlah diri sendiri, soleh ke tidak kita. Kalau ternyata kita tidak tahu untuk bangun malam maka jelaslah bahawa kita kurang solehnya. Siang kita juga beribadah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T tetapi ibadah malam, akan terasa lebih dekat dengan Allah S.W.T:

“Dari Anas bin Mālik dan Abu Hurairah R.A dari Nabi S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan dari Tuhannya, Dia berfirman, “Jika seorang hamba mendekati-Ku sejengkal, nescaya Aku mendekatinya satu hasta. Jika dia mendekati-Ku satu hasta, nescaya Aku mendekatinya satu depa. Jika dia mendatangi-Ku dengan berjalan kaki, nescaya Aku mendatanginya dengan berlari kecil.””

(Hadis Sahih – Diriwayatkan oleh Bukhari)

Kesungguhan kita mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, impaknya, Allah S.W.T akan lebih lagi semakin mendekati kita. Jadi sesiapa yang ada menyatakan susah untuk meninggalkan dosa dan maksiat, maka bangunlah qiamullail di malam hari. Allah S.W.T akan bagi kekuatan agar orang itu akan terhindar dari melakukan dosa dan juga akan dihapuskan dosa-dosanya:

“Sebuah hadis yang diriwayatkan dari isteri Nabi Muhammad S.A.W, Aisyah R.A, beliau berkata, yang maksudnya: “Rasulullah S.A.W tidur pada awal malam dan bangun pada penghujung malam. Lalu beliau melakukan solat.””

(Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Tidur setelah Isyak akan membuat kita lebih mudah bangun untuk solat malam dan bermunajat kepada-Nya, malah kita menutup amal di malam hari dengan solat yakni amal soleh bukan dengan perbuatan mubah yang sia-sia. Keadaan tidur Nabi Muhammad S.A.W dalam keadaan memejamkan mata namun hatinya tetap terjaga:

“Hadis dari Anas bin Malik yang bermaksud, “Dan Nabi S.A.W, tertidur kedua matanya, namun hatinya tidaklah tidur. Seperti itu pulalah keadaan para Nabi. Mata mereka tertidur namun tetap terjaga kalbu-kalbu mereka.””

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jadi, kita perlu menghidupkan sepertiga akhir malam kita kerana Allah S.W.T akan turun ke langit dunia seperti Hadis di bawah yang bermaksud: 

“Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Allah S.W.T turun ke langit dunia setiap malam pada 1/3 malam terakhir. Allah S.W.T lalu berfirman, “Siapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku kabulkan! Siapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri! Siapa yang meminta ampun kepada-Ku tentu Aku ampuni. Demikianlah keadaannya hingga terbit fajar.””

(Hadis Riwayat Bukhari no. 145 dan Muslim no. 758)

“Rasulullah S.A.W dalam sabda lainnya: “Di waktu malam terdapat satu saat di mana Allah S.W.T akan mengabulkan doa di setiap malam.””

(Hadis Riwayat Muslim No. 757)

Ketika meminta sama ada untuk hal dunia atau akhirat, Allah S.W.T akan mendengarkannya dan mengabulkannya kerana itulah waktu terdekat antara Allah S.W.T dan hamba-Nya.

Bangun malamnya Rasulullah S.A.W

Selepas Nabi Muhammad S.A.W wafat, Ibnu Umar datang dan bertanya kepada insan paling dekat di hati Baginda selepas kematian Saidatina Khadijah iaitu Saidatina Aisyah. “Izinkan kami di sini seketika dan ceritakan kepada kami perkara yang paling mengagumkan daripada semua yang pernah engkau saksikan pada diri Nabi S.A.W.” (Diriwayatkan Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Hibban)

Apakah jawapan seorang isteri? Sambil menangis Saidatina Aisyah menjawab: “Semua urusannya menakjubkan bagiku.”

Siti Aisyah menceritakan, di Ketika Rasulullah S.A.W  bermalam di rumahnya, Rasulullah S.A.W tiba-tiba bangun di tengah malam. Beliau menemuiku dan mengatakan yang bermaksud: “Hai Aisyah, izinkanlah saya beribadah kepada Tuhanku.”

Aisyah menjawab, “Ya Rasulullah, aku suka engkau dekat denganku. Tetapi aku juga lebih suka jika engkau beribadah kepada Tuhanmu.”

Lalu Rasulullah S.A.W mengambil gharibah (bekas air) untuk berwudhuk dan menunaikan ibadah solat. Siti Aisyah terus bercerita, setelah Rasulullah S.A.W mengangkat tangannya takbiratul ihram, dan membaca ayat-ayat al-Quran, Rasulullah S.A.W  menangis terisak-isak.

Begitu pula ketika sujud. Janggutnya basah kerana air matanya. Selesai solat, ketika Bilal memberitahukan sebentar lagi akan masuk waktu Subuh, Rasulullah S.A.W masih terisak-isak menangis.

Bilal bertanya, “Ya Rasulullah, mengapa engkau menangis padahal Allah S.W.T telah mengampuni dosa-dosamu baik yang terdahulu mahupun yang kemudian?” Beliau menjawab yang bermaksud: “Apakah tidak boleh jika aku termasuk hamba yang bersyukur.”

Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Pada malam ini turun satu ayat suci al-Quran. Celakalah orang yang membaca ayat al-Quran ini, tetapi tidak merenungkan maknanya.”

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.”

(Ali Imran : 190)

Nabi menangis! Bagaimana kita? Pernah ke kita menangis seperti menangisnya Rasulullah S.A.W  dalam ibadah kita? Atau kita hampir tidak pernah menangis kecuali tangisan kesedihan kerana kehilangan dunia, seperti kematian orang-orang yang kita sayangi dan musibah yang menimpa.

Bangun malamnya Saidina Umar al-Khattab

Bagaimana pula keadaan para sahabat bangun malam dan  bagaimana mereka mengisi malam mereka?. Cuba lihat kesah Umar Al-Khattab.

Selepas kematian Umar al-Khattab, Utsman bin Abi al-‘Ash menikahi salah seorang mantan isteri dari Umar bin Khattab agar memperoleh informasi mengenai bagaimana Umar menghabiskan waktu malamnya.

“Demi Allah, aku tidak menikahi janda Umar sebab mengharap harta dan keturunan, tetapi semata-mata kerana aku berharap ia dapat memberiku khabar mengenai malam-malam yang dilalui Umar,” ujar Utsman bin Abi al-‘Ash.

Utsman bertanya pada mantan isteri Umar bin Khattab mengenai bagaimana solat Umar di waktu malam dan berikut ini jawapan dari mantan isterinya:

“Selepas solat Isyak, Umar menyuruhku meletakkan bekas berisi air di sebelah kepalanya. Ketika terjaga, ia akan mencelupkan tangannya ke dalam air, lalu mengusap wajah dan kedua tangannya untuk kemudian berzikir sampai beliau tertidur lagi… Tidak cukup sampai di situ, Umar bin Khattab kerap kali terjaga di malam dan siang hari untuk beribadah dan juga berpuasa, seperti yang dikisahkan oleh Mu’awiyah bin Khudayj, jeneral dari suku Kindah…”

Mu’awiyah bin Khudayj mendatangi Umar pada waktu Zohor, kemudian Umar berkata padanya, “…. Jika aku tidur siang hari, aku telah menyia-nyiakan amanah rakyatku. Jika aku tidur malam hari, aku telah menyia-nyiakan kesempatanku dengan Tuhanku. Bagaimana aku boleh tidur di kedua waktu ini, wahai Mu’awiyah?”

Mu’awiyah melihat Umar sangat keletihan dan mengantuk dalam duduknya. Kemudian Mu’awiyah bertanya, “Tidakkah kau tidur, wahai Amirul Mukminin?”

Dan dijawab oleh Umar, “Bagaimana mungkin aku boleh memejamkan mataku? Jika aku tidur di waktu malam, aku akan menyia-nyiakan kesempatanku dengan Allah S.W.T.”

Sungguh hebat cinta Umar kepada Allah S.W.T, begitu juga mencintai Rasulullah S.A.W. Kehebatan iman Umar inilah menjadikan syaitan sendiri tidak berani bertembung dengannya. Beliau sendiri sudah dijamin syurga oleh Allah S.W.T.

Kesimpulannya:

Kita insan yang lemah, jadi kita kena menyediakan cara untuk membolehkan kita bangun malam. Antaranya seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab di atas. Kita boleh juga perbanyakkan berdoa untuk dapat bangun malam dengan sedikit tidur. Seandainya kita diserang malas dan mengantuk ketika kita sedang solat, berdoa dan berzikir, maka jangan dilayan tetapi kondisikan perhatian dan gerakan kita kepada yang lain. Mudah-mudahan malas dan mengantuk itu tidak akan pernah jadi kebiasaan kita, iaitu bila mengantuk, jangan terus tidur atau bila malas, jangan terus tinggalkan.

Dan akhirnya sebagai seorang mukmin, kalau ingin masuk syurga, kalau inginkan kemuliaan dan kehormatan, kalau inginkan keampunan dan kejayaan daripada  Allah S.W.T, maka lakukanlah qiamullail:

“Dari Sahl bin Sa’ad R.A, berkata: Jibril datang kepada Nabi S.A.W, lalu berkata: ” ….Kemudian dia berkata: “Wahai Muhammad! Kemuliaan seorang mukmin adalah berdirinya dia pada malam hari (untuk solat malam), dan keperkasaannya adalah ketidakbergantungannya kepada manusia.””

(Hadis Riwayat At-Tabarani no 4278, Abu Nu’aim 7921) – Hadis ini dinyatakan hasan oleh Syaikh al-Albani

Wallahu’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 12/6/2023