Malaysia perlu labur keluar vaksin sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat penghasilan vaksin sendiri sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pandemik berulang.

- Advertisement -

Selain itu sebagai langkah persediaan, beliau meminta kerajaan membuat pelaburan dalam sektor kesihatan awam bagi melakukan kajian dan pembangunan vaksin baharu.

Malah, katanya usaha itu pernah dirintis oleh kerajaan lalu untuk menghasilkan vaksin bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar seperti Sinovac dan Pfizer.

“Kerajaan mesti mengambil inisiatif untuk mewujudkan dan membangunkan ekosistem vaksin tempatan sebagai usaha menangani dan bertindak balas dalam pandemik pada masa akan datang.

“Selain itu, Tangga Batu mencadangkan negara mesti mewujudkan pusat penghasilan vaksin negara,” katanya ketika membahas Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 di Dewan Rakyat, hari ini..

Bakri berkata, barisan hadapan termasuk pengamal perubatan perlu diambil kira untuk memastikan pengalaman ketika berhadapan saat-saat getir tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Mereka yang mempunyai pengalaman dan terlatih menghadapi wabak ini mestilah dikekalkan. Mereka yang diambil kerja secara lantikan kontrak mesti dikekalkan dan diserap ke jawatan tetap.

“Pengalaman yang mereka miliki merupakan aset penting kepada negara dan boleh dijadikan tenaga mahir untuk dilatih bagi persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pandemik akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!