
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil, menegur Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang mengadakan majlis kementerian di kawasan parlimennya, tetapi tidak menjemputnya.
Beliau berkata, majlis itu dihadiri Nga Kor Ming yang menyerahkan kunci Program Perumahan Rakyat (PPR) di Batu Belah Machang pada 19 Mac lalu.
Beliau mengingatkan bahawa pendekatan politik terbuka serta tidak memusuhi antara satu sama lain memberi manfaat yang besar kepada rakyat di sesebuah kawasan tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang.
“Saya ada sedikit teguran terhadap menteri ini yang tidak hadir pada pagi ini, sebabnya masa beliau datang buat serahan pada pemilik PPR, tidak dimaklumkan kepada kami wakil rakyat.
“Ini penting Yang Dipertua kerana rakyat dalam kawasan saya akan bertanya kepada kami mengenai sebarang masalah yang ada di tempat mereka,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) memuji dua wakil kerajaan yang menjemput pembangkang pada sebuah majlis kerajaan, 4 Jun lepas.
Program berkenaan ialah penyerahan projek Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu Klinik Kesihatan Mata Ayer dan Klinik Kesihatan Kerilla.
Majlis itu dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ketika menjawab teguran itu turut meminta maaf kerana tidak menjemput Wan Ahmad Fayhsal, menghadiri program kementeriannya semalam.
“Saya nak maklumkan kepada Machang, semalam saya juga turun ke Machang, tapi saya tidak maklumkan sebab saya melawat projek perumahan sakit.
“Memang saya turun, cuma saya minta maaf tidak maklumkan dan juga semalam sebab kita bukan hanya nak sembang minum, tetapi saya nak selesaikan masalah rakyat di bawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!