KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menyasarkan seramai 50,000 kanak-kanak di negeri itu yang lahir pada tahun 2018 dan 2019 menerima suntikan vaksin pneumokokal konjugat PCV-13.
Pengarahnya, Dato’ Dr Zaini Husin berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat dan melakukan pendaftaran berkaitan dengan mereka yang layak menerima suntikan tersebut.
“Setakat ini hanya daerah Pasir Mas telah memulakan suntikan ‘catch up’ PCV dan telah menyuntik seramai 28 kanak-kanak kohort 2018 dan 19 orang kanak-kanak kohort 2019.
“Lain-lain daerah masih dalam proses pengumpulan maklumat kanak-kanak yang layak dan pemberian tarikh temujanji,” katanya selepas perasmian kempen Kelantanku Sihat di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Dr Izani Husin.
Dr Zaini juga berharap ibu bapa memberi kerjasama terutama bagi anak yang lahir pada tahun 2018 dan 2019 bagi mendapat suntikan tersebut.
“Kita lihat kepada trend penyakit mereka yang berusia 4 hingga 5 tahun berisiko terkena jangkitan pneumokokal konjugat PCV-13.
“Justeru, pemberian suntikan amat penting bagi memastikan kanak-kanak yang lahir pada tahun tersebut mendapat perlindungan daripada jangkitan bakteria,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!