BACHOK: “Ya Allah, ampunkanlah ibuku, dan jumpakan kami di syurga-Mu.”
Itulah antara yang dilafazkan dalam doa pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Syahril Saidi yang mengimami solat jenazah ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, hari ini.
Solat jenazah dilaksanakan di Masjid Pondok Moden Kandis, yang turut disertai Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, ADUN Pantai Irama, Huzaimy Che Hussin dan ADUN Jelawat, Abdul Azziz Kadir.
Selepas itu, jenazah Tuan Faridah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati, Jelawat.
Jenazah arwah bapa Muhammad Syahril, Saidi Mat Jusoh yang meninggal semasa beliau berusia tujuh tahun juga dikebumikan di tanah perkuburan itu.
Kejayaan cemerlang beliau dalam peperiksaan SPM mendapat liputan meluas media kerana dia tidak menyangka memperoleh 11A kerana sibuk menjaga ibunya yang terlantar sakit saraf sejak empat tahun lepas. – HARAKAHDAILY 11/6/2023