Negara alami krisis nilai kerana ditadbir perasuah, penipu

- Advertisement -

PORT DICKSON: Kes pecah amanah dan salah guna kuasa pemimpin negara, negeri dan jabatan di semua peringkat berada pada tahap kritikal.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata kesannya negara akan kehilangan aset dan sumber kekayaan serta mengalami banyak kerugian.

Menurut beliau ia juga akan membantutkan aktiviti pembangunan dan pentadbiran negara yang efisyen dan lestari.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut bimbang dengan krisis nilai dan integriti yang serius kerana ditadbir oleh kelompok perasuah, penipu, pembohong dan tidak amanah.

Katanya, sudah pasti para pelabur akan hilang keyakinan terhadap negara sehingga jatuhnya mata wang negara.

“Ini termasuk soal menabur janji palsu dan fitnah atas nama persepsi yang semakin membimbangkan.

“Dalam masa yang sama kes penyelewengan pegawai dan kakitangan kerajaan sangat membimbangkan,” katanya ketika berucap dalam Liqa’ Fikri tadi, anjuran Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat di sini, hari ini.

Selain itu beliau turut melahirkan kebimbangan dengan jurang perbezaan antara kaum yang semakin ketara dan berpotensi mencetus situasi tegang.

Katanya, ini kerana sentimen yang dimainkan dan dimanipulasi oleh beberapa pihak yang berkepentingan.

Menurut beliau situasi tegang dan tidak harmoni sangat mudah terjadi kerana ada pihak tertentubyang sengaja membiarkan sensitiviti masyarakat Islam dan Melayu dipermainkan.

“Seperti isu kalimah Allah, Tanah Rezab Melayu, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan sebagainya.

“Ada juga di kalangan pemimpin dan masyarakat yang gagal melihat soal kepimpinan sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang besar terhadap agama, bangsa dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2023

- Advertisement -