Misi bantuan Aid 4 Turkiye & Syria PAS Relief

- Advertisement -

PADA Ahad 4 Jun lalu, saya bersama anggota rombongan Aid 4 Turkiye & Syria PAS Relief yang diketuai oleh YB Ustaz Yusni Mat Piah telah berlepas ke Turkiye dan Syria bagi melanjutkan misi bantuan kemanusiaan PAS Relief yang telah dijalankan sebelum ini setelah berlakunya gempa bumi besar yang melanda Turkiye dan Syria beberapa bulan yang lalu.

- Advertisement -

Turut sama menyertai rombongan misi bantuan kemanusiaan kali ini adalah wakil-wakil media tempatan yang turut berpeluang melihat dengan lebih dekat kerja-kerja misi kemanusiaan yang dijalankan oleh PAS Relief bagi membantu terutamanya mangsa-mangsa yang terkesan akibat gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria.

Sehingga ke hari ini, sudah lima misi bantuan kemanusiaan Aid 4 Turkiye & Syria PAS Relief telah dijalankan dengan sumbangan antaranya berbentuk 36 buah rumah kontena yang dilengkapi perabot asas dengan bekalan eletrik dan air bersih yang dianggaran setiap unit kontena tersebut  berharga RM30,000 telah diberikan.

Sekretariat Aid 4 Turkiye & Syria PAS Relief menyasarkan untuk menyumbang sekurang-kurangnya 100 unit rumah kontena kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Selain itu, bantuan food pack dan food trak juga turut disediakan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan sasaran sekurang-kurangnya bantuan 10 food trak dengan kos RM100,000 bagi setiap trak termasuk makanan asas, selimut dan pakaian musim sejuk.

Sehingga ke hari ini, PAS Relief masih membiayai dan menyediakan makanan atau “Dapur Rakyat“ kepada mangsa-mangsa gempa bumi di penempatan-penempatan sementara antaranya di Kahramanmaras, Turkiye yang dianggarkan penyediaan makanan tersebut adalah untuk 2,000 orang mangsa setiap hari.

Di Kaharmanmaras juga, sebanyak 9 unit rumah kontena disumbangkan kepada sebuah maahad tahfiz bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar-pelajar maahad tahfiz tersebut.

Tidak sekadar itu, PAS Relief turut menyumbang khemah-khemah untuk dijadikan kelas pengajian sementara kepada pelajar-pelajar berikutan kemusnahan bangunan sekolah asal akibat kejadian gempa bumi yang berlaku.

Alhamdulillah pada misi kali ini, delegasi Aid 4 Turkiye & Syria PAS Relief telah berjaya memasuki Idlib dan Halab di Syria dan menjadi harapan besar Sekretariat Aid 4 Turkiye & Syria PAS Relief untuk misi bantuan kemanusiaan pada masa hadapan agar dapat melebarkan misi bantuan kemanusiaan ke wilayah-wilayah lain di Syria bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas teruk akibat gempa bumi besar yang berlaku.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana sehingga ke hari ini boleh dinisbahkan bahawa Aid 4 Turkiye & Syria yang dianjurkan PAS Relief telah berjaya mencapai matlamat dan tujuan murninya dalam usaha membantu mangsa-mangsa yang terkesan dan terjejas teruk akibat gempa bumi besar yang melanda Turkiye dan Syria beberapa bulan lalu.

Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat rakyat Malaysia yang terus menyumbang kepada PAS Relief bagi membantu menjaya dan melancarkan misi bantuan kemanusiaan ini dan menjadi harapan besar agar rakyat Malaysia dapat meneruskan sumbangan ini bagi mencapai matlamat dan objektif utama misi kemanusiaan ini iaitu untuk meringankan beban yang ditanggung oleh warga Turkiye dan Syria yang terjejas teruk akibat gempa bumi yang berlaku.

Semoga Allah SWT membalas dengan limpah kurnia dan rahmatnya buat warga Malaysia yang menitipkan sumbangan bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan ini dan seterusnya mendoakan agar warga Turkiye dan Syria mampu bangkit semula dari bencana ini bagi membina kembali masa depan dan kehidupan mereka ke arah yang lebih baik dan gemilang.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 10/6/2023

- Advertisement -