Damok retak rusuk kiri, terlepas GP Itali, Jerman

Syarifuddin Azman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara Syarifuddin Azman terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi pada Grand Prix (GP) Itali dan GP Jerman selepas terlibat dalam kemalangan semasa sesi latihan bebas kedua di Litar Antarabangsa Mugello, Itali semlam.

- Advertisement -

Pasukannya ZK Racing menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelumba yang lebih mesra dengan panggilan Damok itu mengalami keretakan rusuk kiri selepas terbabas dan melambung ke udara ketika sesi latihan tersebut.

“Beliau akan terlepas dua perlumbaan (GP Itali dan GP Jerman). Damok akan dipantau dari semasa ke semasa untuk proses pemulihan. Mari kita bersama doakan untuk Damok segera pulih dan dapat beraksi dengan lebih baik selepas dia sembuh,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pelumba berusia 22 tahun berkenaan yang pertama kali beraksi di litar Mugello, berharap dapat segera pulih untuk menyertai perlumbaan akan datang.

“Saya perlu kembali dengan kuat dan pulih secepat mungkin. Saya harap semua mendoakan saya untuk cepat sembuh. Mohon sokong adik-adik saya yang berlumba minggu ini di Red Bull MotoGP Rookies Cup,” katanya menerusi video yang dikongsi ZK Racing hari ini.  

Pada sesi latihan bebas pertama sebelum kemalangan, Damok berjaya melengkapkan saingan dengan melakukan catatan sepusingan terbaik dua minit 00.012 saat untuk berada di tempat ke-26 daripada 29 pelumba.

Pusingan GP Itali bermula semalam hingga esok manakala GP Jerman bakal berlangsung pada 16 hingga 18 Jun ini.

Pada pusingan sebelum ini di GP Perancis, Damok gagal menamatkan perlumbaan susulan kemalangan ketika sedang memburu kedudukan dalam kelompok 10 terbaik di Litar Le Mans, Mei lepas.

Beliau ketika ini berada di kedudukan ke-22 daripada 29 pelumba selepas mengumpul lima mata setelah menduduki tempat ke-11 di GP Argentina awal April lepas. – BERNAMA

- Advertisement -