Sibuk jaga ibu, tak sangka raih 11A

Foto daripada Facebook Smu A Darul Iman.
- Advertisement -

BACHOK: Remaja berusia 18 tahun Muhammad Syahril Saidi tidak menyangka dapat meraih keputusan cemerlang 11A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memandangkan beliau sentiasa sibuk menguruskan ibunya yang terlantar sakit saraf sejak empat tahun lepas.

- Advertisement -

Dinobatkan pelajar terbaik Sekolah Menengah Ugama (SMU) Darul Iman, Beris Lalang, di sini, anak bongsu daripada enam beradik itu percaya sedikit sebanyak asbab kejayaan tersebut adalah kerana beliau mengutamakan ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53.

“Kebiasaannya rutin harian saya, saya akan memandikan ibu sebelum ke sekolah, selain akan melakukan tugas yang sama apabila pulang dari sekolah.

“Saya tidak menyangka dalam kesibukan menguruskan ibu yang sakit saya mampu meraih kejayaan ini memandangkan pada awalnya saya tidak meletakkan sasaran untuk meraih kesemua A dalam mata pelajaran yang diambil, sekali gus dapat membuatkan ibu tersenyum sebaik mengetahui keputusan ini,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Syahril ketika beliau di sekolah, kakaknya Noor Syahida, 25, yang menjaga ibu mereka.

Beliau yang kematian bapa sejak berusia tujuh tahun berkata antara resepi kejayaannya ialah menumpukan sepenuh perhatian ketika mengikuti pelajaran di sekolah.

Pemuda itu meraih semua A dalam subjek yang diambil iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Perniagaan, Usul Al-Din, Al-Syariah, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah, Manahij Al-Ulum Al- Islamiah dan Al- Adab Wa Al-Balaghah.

“Ketika ini saya sedang menyambung pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad Yaakubiah, Kampung Nipah, Bachok sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah selepas tamat STAM nanti,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah Bahasa Arab.

Terdahulu, tular video di TikTok memaparkan Muhammad Syahril menerima keputusan SPM daripada beberapa orang guru yang datang ke rumahnya, selepas beliau tidak dapat hadir ke sekolah kerana menjaga ibu.

Mengulas mengenai video itu yang meraih lebih dua juta tontonan, beliau menafikan ibunya menghidap kanser.

“Saya memohon agar orang ramai tidak menularkan gambar serta video berkaitan ibu saya memandangkan khuatir ia akan mengundang aib selain bimbang terdedah aurat,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -