PH-BN cuba tutup kelemahan, lari dari isu dihadapi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dilihat sedang melakukan pelbagai tindakan politik yang bertujuan menutup kelemahan dan melepaskan lari dari isu serta masalah dihadapi.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerana itu Kerajaan PH-BN lebih bersifat seperti polis apabila mengarahkan siasatan dan mencari kesalahan ke atas pihak-pihak lawan politik.

Malangnya kesali beliau, kerja urus tadbir dan tugas jawatan dalam kerajaan tidak berjalan sepatutnya, termasuk gagal melaksanakan manifesto pilihan raya atau menunaikan perkara-perkara dijanjikan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran dan Pengurusan Yayasan Isra’ Malaysia di Mentaloon, di sini pagi tadi.

Beliau memberi contoh isu Pulau Pinang milik Kedah yang dikatakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor di mana disifatkannya tidak patut menjadi isu kerana merupakan fakta sejarah.

“Takkan itu pun nak siasat? Sebelum ni banyak mana dah profesor universiti yang keluar kenyataan yang macam itu juga? Ini tak lain hanya tindakan-tindakan untuk menutup kelemahan dia, akhirnya siapa yang salah.

“Budak muda buat TikTok pun kena panggil, kenyataan dibuat Tok Guru Presiden (PAS) pun dipanggil, Tun Mahathir (Mohamad) pun kena siasat, Sanusi pun kena siasat. Seolah kerajaan yang ada ni kerajaan yang siasat semua orang.

“Yang lawan dia sikit dia akan cari kesalahan di antara polis untuk buka fail siasatan dan sebagainya. Sedangkan rakyat nak tengok, apa tindakan untuk menangani beban kos hidup sekarang ni? Macam mana usaha untuk laksanakan?” ujarnya.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin dinasihatkan Dato’ Tuan Ibrahim agar menunaikan tanggungjawab dengan berlaku adil kerana ianya adalah asas kepada pemimpin di sisi Islam.

“Ini tak, kerana (kita adalah) lawan (politik) dia, peruntukan Ahli-ahli Parlimen (pembangkang) satu sen pun tak bagi. Kita doakan mudah-mudahan apa yang berlaku ni menyebabkan rakyat akan terus kukuh bersama kita insya-Allah,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu meyakini bahawa dengan pertolongan Allah SWT, PERIKATAN NASIONAL (PN) akan menawan Selangor dan tidak mustahil juga menang di Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.

Ustaz Tuan Ibrahim berharap PAS dan BERSATU serta pelbagai pihak terus mengukuhkan muafakat dan amat dialu-alukan yang mahu bersama untuk menang lebih besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita tengoklah sekarang ni jentera pilihan raya menghadapi enam negeri ini insya-Allah saya turun dua tiga negeri, mood sangat baiklah. Anak muda tetap bersama kita dan sebahagian daripada Umno yang kecewa bila DAP bergabung dengan dia. 

“Mereka tahu, dia (Umno dan DAP) bertembung polisi. Sebahagian mereka keluar. Malam tadi pun ada dalam majlis. Sebelum ni saya di Gombak, di Selayang, beberapa orang cawangan-cawangan Ummo yang bubar, kemudian mari bersama kita.

“Dan kita bekerja keras ke arah itu dan jentera-jentera pun dah ready semua nak buat kerja (pilihan raya). Pembahagian kerusi 95 peratus dah siap tinggal sikit lagi, kita sekali final dalam bulan ni kita akan selesai insyaAllah,” beritahunya. – HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -