‘Pengganas eko’ punca kebakaran hutan di Kanada?

Imej dari udara menunjukkan lokasi kebakaran di Shelburne County , Kanada pada 31 Mei 2023 (FOTO: Kerajaan Nova Scotia melalui AFP)
- Advertisement -

MONTREAL: Ketika Kanada sedang menghadapi tragedi kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara itu, satu teori konspirasi telah muncul dalam talian yang mendakwa pejuang alam sekitar sengaja mencetuskan beberapa kebakaran.

- Advertisement -

Bekas menteri luar Kanada, Maxime Bernier yang bertukar menjadi pemimpin parti lawan, dalam tweet 5 Jun berkata, beliau yakin sebahagian besar kebakaran hutan yang melanda seluruh Kanada ketika ini dimulakan oleh ‘pengganas eko’ yang ingin memberikan sedikit dorongan kepada kempen perubahan iklim mereka.

Setakat ini pada 2023, Kanada telah mengalami kebakaran hutan yang lebih besar berbanding tahun sebelumnya pada ketika ini, dengan lebih daripada tiga juta hektar terbakar dan berpuluh-puluh ribu penduduk telah dipindahkan, lapor AFP.

Di platform TikTok, sebuah video yang telah ditonton hampir 20,000 kali, mendakwa kebakaran di Nova Scotia telah ditetapkan dengan ‘’sengaja untuk mendorong agenda perubahan iklim’.

Satu artikel membuat spekulasi bahawa memandangkan 90 peratus kebakaran Alberta boleh ‘disebabkan oleh manusia’, terdapat kemungkinan bahawa ‘pengganas eko mungkin adalah di sebalik kejadian itu.

Ketika kebakaran hutan merebak di Quebec, ada pihak  yang mempersoalkan bagaimana semua kebakaran boleh bermula pada hari yang sama. 

Satu video Facebook dengan lebih daripada satu juta tontonan menyalahkan ‘serangan pengganas eko’  sebagai punca kebakaran.

Namun, Karine Pelletier dari Agensi Perlindungan Kebakaran Hutan wilayah itu berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Terdapat banyak yang disebabkan oleh manusia, tetapi ini hampir selalunya disebabkan faktor ‘kemalangan’ semulajadi,” katanya, sambil menegaskan bahawa sambaran petir baru-baru ini telah dipersalahkan untuk banyak kebakaran hutan di Quebec.

Pihak Alberta Wildfire pula memberitahu AFP bahawa melainkan kilat terlibat, kebakaran diklasifikasikan sebagai berpunca daripada manusia. Ini tidak secara eksklusif bermaksud pembakaran.

“Ia mungkin berkaitan dengan punca umum termasuk pertanian, industri hutan, talian kuasa, atau industri minyak dan gas, kereta api atau kebakaran hutan kediaman,” kata jurucakap Alberta Wildfire, Melissa Story.

Pihak berwajib di Nova Scotia juga berkata mereka masih menyiasat punca kebakaran hutan di wilayah itu, yang dianggap berpunca daripada manusia.

“Kebakaran yang disebabkan oleh manusia boleh berlaku secara tidak sengaja, disengajakan atau tidak dapat ditentukan,” jelas jurucakap Pejabat Marsyal Bomba Nova Scotia, Heather Fairbairn.

“Sudah tentu kami melihat kesan perubahan iklim sebagai faktor yang  boleh meningkatkan risiko kebakaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -