NGO jadi pelengkap usaha memartabatkan Islam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan gerak kerja dakwah telah menjadi pelengkap kepada usaha dan peranan untuk mengembang dan memartabatkan agama Islam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedudukan tersebut umpama satu batu bata yang menyempurna dan mengukuhkan binaan bagi sebuah bangunan.

Beliau memetik hadis di mana Nabi Muhammad SAW sendiri mengibaratkan Baginda seperti bata yang satu itu terhadap para Nabi dan Rasul sebelumnya serta segala ajaran dan agama daripada Allah SWT.

“Perumpamaan sangat hebat disebutkan Rasulullah SAW. Kerana setiap bangunan didirikan asasnya adalah dari komponen yang saling terpisah dan tidak kuat. Tetapi apabila saling diikat, bata dengan pasir, simen dan air, ia menjadi kekuatan antara satu sama lain.

“Sesungguhnya Allah SWT menyintai orang-orang yang berjuang seperti bangunan tersusun kukuh,” ujar beliau membacakan ayat 4 surah al-Saff itu dan menjelaskan hadis Allah menyukai Mukmin yang kuat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berucap demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran dan Pengurusan Yayasan Isra’ Malaysia di Mentaloon, di sini hari ini.

Pujinya, peranan dilakukan oleh NGO kepada usaha tersebut melengkapkan pelaksanaan kepada perintah Allah yang tidak dapat disempurnakan kecuali dengan menggunakan kuasa pemerintahan.

Beliau memberikan contoh di mana usaha mencegah atau menamatkan kemungkaran seperti menutup premis judi, mengawal jualan arak dan jenayah lain yang hanya berjaya apabila memiliki kuasa kerajaan.

Pengerusi Yayasan Isra’ Malaysia, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman terdahulu dalam ucapan aluannya memperkenalkan NGO itu yang bermatlamat meluaskan Syariah Islam kepada umat manusia.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Sik, masyarakat hari ini hakikatnya masih terbatas, bahkan sempit dalam memahami Syariah kerana hanya mengetahui hal ibadah semata-mata. 

“Jauh lagi hendak membicarakan soal Syariah sebagai perundangan Islam. Maka perlu ada penyelidikan dan pengembangan Syariah supaya menjadi motif kepada kehidupan,” ujarnya beliau.

Ceritanya memetik kisah agung Israk Mikraj Rasulullah SAW yang menjadi nama kepada NGO dipimpin beliau itu, ia adalah cita-cita kepada keyakinan dan perjuangan bahawa Islam akan kembali ke Masjidil Aqsa.

“Untuk ambil semula daripada penjajahan Yahudi Israel. Kami ambil perkataan Isra’ ini sebagai perjuangan ke arah membebaskan umat menerusi pendidikan, kebajikan dan kemanusiaan,” terangnya.

Menurut beliau, pihaknya telah menubuhkan sekolah dan tahfiz untuk memberi pendidikan terutama pendidikan agama kepada anak-anak termasuk pelarian dalam kalangan umat Islam.

Selain itu beritahunya, pihak beliau juga melaksanakan pelbagai usaha kebajikan dan kemanusiaan termasuk agenda dakwah mengislamkan pelbagai kaum di negara ini dan di seluruh dunia antarabangsa.

Antaranya beritahu beliau, adalah di Papua New Guinea, Chad Afrika, Afghanistan, Nepal, Palestin, Thailand, Indonesia, Lubnan dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -