Mudah sahaja bagi DAP untuk melafazkan maaf

- Advertisement -

SEMALAM Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh, menuntut supaya DAP memohon maaf kepada Umno supaya pengundi-pengundi Melayu boleh memberi kepercayaan kepada parti cauvinis tersebut selepas ini. Desakan Dr Akmal disambut baik oleh Timbalan Presiden Umno, Dato Seri Mohamad Hasan, yang melihatnya sebagai satu cadangan yang baik.

Sebenarnya, mudah sahaja bagi DAP melafazkan permohonan maaf umum, apatah lagi jika permohonan itu diuar-uarkan oleh seorang dua pemimpin tertinggi DAP. Yang tersangat sukar bagi DAP ialah meninggalkan perjuangan Malaysian Malaysia mereka, atau mengenepikan usaha mereka mensekularkan Malaysia, atau setidak-tidaknya menggugurkan dasar sosialisme mereka dari Perlembagaan DAP.

Sekiranya Umno mahu menilai ketulusan DAP, cuba pastikan dengan mereka, adakah DAP menerima bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam berdasarkan apa yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan? Buat masa ini, cukup sahaja untuk mereka memperakui Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dahulu, tidak perlu lagi memaksa mereka untuk menyokong RUU bagi memperkasakan Syariah.

Boleh jadi naratif berkaitan dengan Islam masih merupakan satu fobia bagi DAP, jadi apa kata Umno menguji keikhlasan DAP dengan naratif Bahasa Melayu. Jika DAP benar-benar ikhlas dengan Umno, sanggupkah mereka mengiktiraf hanya satu sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan Bahasa Melayu dan citra Malaysia? Dengan makna lain, ada DAP boleh menolak usaha untuk mengiktiraf UEC?

Saya yakin DAP tidak berani untuk menunaikan tuntutan tersebut, berbanding sekadar melafazkan permohonan maaf umum kepada Umno. Saya cabar DAP untuk memohon maaf kepada Dato Sri Mohamad Najib Tun Razak yang telah diserang dan diaibkan bertalu-talu oleh mereka sebelum ini. Atau paling tidak, DAP perlu menyokong kuat usaha MKT Umno supaya Najib diberi Pengampunan Di Raja. Beranikah DAP?

PAS sudah bersama DAP begitu lama, sejak tahun 1998. Pada tahun 2001, DAP pernah meninggalkan PAS disebabkan PAS tetap teguh memperjuangkan agenda Negara Islam. DAP juga menjadi penghalang utama bagi PAS dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melaksanakan Syariah di Negeri Kelantan, sehingga hubungan PAS dan DAP tegang kembali mulai tahun 2011. Jadi, PAS sudah lama mengenali ‘keikhlasan’ DAP. 

DAP yang bersama dengan PAS dulu, DAP itulah yang bersama dengan Umno sekarang. Bagus juga, masih ada pemimpin Umno seperti Dr Akmal, yang berani menguji keikhlasan DAP. Cuma Dr Akmal tidak cukup menuntut DAP memohon maaf secara umum, paling tidak tuntut mereka memohon maaf kepada Najib, bekas Presiden Umno, yang telah mereka serang dan aibkan ke seluruh pelosok dunia.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -