Kerajaan digesa serius tangani isu ekonomi, kewangan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menangani ekonomi dan kewangan negara.

Menurutnya, dahulu apabila nilai Ringgit jatuh, mereka menyerang kerajaan habis-habisan, tetapi kini memberi kenyataan sambil lewa dan tidak acuh apabila menghadapi kejatuhan nilai Ringgit.

“Sekarang nilai Ringgit jatuh, dan tak mustahil akan sampai (kepada) RM5. Sekarang ni lebih daripada RM4.60. Kalau sampai RM5, risiko besar, sebab kita banyak barang bergantung kepada import. 

“Jadi kos makanan kita akan meningkat, kos barang elektrik kita akan meningkat, kos sara hidup rakyat akan meningkat, sebab duit kita dah macam tak ada nilai sendiri, sebab pergantungan kita kepada barang import,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran dan Pengurusan Yayasan Isra’ Malaysia di Mentaloon, di sini pagi tadi.

Beliau bagaimanapun sangat mengalu-alukan tindakan Kerajaan Malaysia dalam mengadakan kerjasama atau muafakat ekonomi yang baik dengan Indonesia sebagai dua negara pengeluar sawit dunia.

“Kita harus berpakat. Apa saja serangan musuh kepada minyak sawit kita, kita harus berpakat. Dan tindakan link antara Malaysia dengan China, Malaysia Indonesia, (serta negara lain dialu-alukan),” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar sebarang urusniaga Malaysia dengan negara luar misalnya mengadakan jual beli dengan China dibayar menggunakan matawang Renminbi dan Ringgit tanpa perlu lagi Dolar Amerika. 

“Pergantungan kepada Dolar akan menyebabkan kita akan lebih teruk. Mereka ubah OPR kita naik,” kemuka beliau Jadi sebagai contoh itu dari segi kenyataan-kenyataan dari segi ekonomi. – HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -