Kedah sediakan bantuan lanjutkan pelajaran pelajar

Najmi di samping salah seorang pelajar Maktab Mahmud Alor Setar yang memperoleh keputusan 10A dalam SPM 2022.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan termasuk sumbangan kepada mana-mana pelajar di Kedah yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Dato’ Najmi Ahmad berkata, bantuan itu termasuk biasiswa daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan tajaan Yayasan Islam Negeri Kedah khususnya kepada yang melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. 

“Di samping itu, kerajaan negeri juga mewujudkan Tabung Tengku Mahmud yang sememangnya antara fungsinya membantu pendidikan terutama kepada golongan sasaran.

“Selain itu juga,  Pendidikan Seksyen Pendidikan Negeri Kedah juga menawarkan pinjaman kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran dan boleh melayari laman web SPPNK untuk keterangan lebih lanjut,” kata beliau pada majlis pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Maktab Mahmud, Alor Setar, semalam. 

Dalam masa yang sama, tambah Najmi bantuan i-Bakipt sebanyak RM300 oleh  kerajaan negeri yang diberi secara one-off kepada pelajar yang menerima tawaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan diserahkan melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri itu. 

Pada majlis berkenaan, Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud Kedah itu juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lalu. 

Kejayaan itu, ujarnya adalah merupakan pengorbanan para guru termasuk ibubapa yang memberi kerjasama di atas program-program yang dianjur oleh pihak sekolah untuk kejayaan pelajar. 

“Saya ucapkan tahniah kepada guru-guru yang sanggup berkorban memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti.

“Guru-guru diumpamakan lilin membakar diri manakala ibu bapa juga penyumbang terbesar dalam kejayaan anak- anak,” tambah beliau.

Justeru kepada para pelajar pesannya raihlah kejayaan melalui ilmu yang dibekalkan oleh guru-guru untuk mengharumkan nama sekolah di persada antarabangsa. 

Maktab Mahmud Alor Setar merekodkan pencapaian kelulusan 100 peratus melibatkan 263 calon SPM 2022.

Sementara dari jumlah itu, 10 calon mendapat keputusan cemerlang A pada semua mata pelajaran dan salah seorang daripadanya mencapai 10 (A+) dan 1 (A). 

“Maktab Mahmud Alor Setar merupakan antara institusi yang berjaya melahirkan ramai cendekiawan ternama dan mengharapkan agar terus mengekalkan prestasi cemerlangnya pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -