Kalimah Allah perlu ditakrif menurut surah al-Ikhlas

Anwar beri jawapan berbeza dari kenyataan Sultan Selangor

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan dalam banyak isu telah memberikan kenyataan dan jawapan berbeza-beza selain dilihat ada yang tidak betul pada ulasannya.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, contohnya dalam isu kalimah Allah di mana Anwar memberitahu bahawa telah mendapat mendapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu.

Sedangkan katanya, apabila bila keluar surat titah kenyataan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin, ternyata bahawa kenyataan atau jawapan Anwar itu tidak betul. 

“Maknanya dia diminta beri taklimat pada MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) baru bawa pada Majlis Raja-raja. Sedangkan jawapan dalam Parlimen seolahnya Majlis Raja-raja dah setuju,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran dan Pengurusan Yayasan Isra’ Malaysia di Mentaloon, di sini pagi tadi.

Bekas Menteri Air dan Alam Sekitar (KASA) itu juga memberitahu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tegas membuat rayuan kes itu atas titah Sultan Johor, Sultan Selangor dan Sultan Kedah. 

Kerana terangnya, kerajaan ketika itu juga bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah tidak boleh dibenarkan kepada selain Islam termasuk di negeri lain sebagaimana mahu dibenarkan kerajaan kini di Sabah dan Sarawak.

Hal itu jelasnya, disebabkan situasi dunia tanpa sempadan kini akan menyebabkan kebenaran diberikan kepada negeri tertentu, tetap akan menjadikan ia tersebar ke tempat atau negeri lain juga.

Lebih dipersoal dan dibimbangkan kata Dato’ Tuan Ibrahim, tujuan membenarkan penggunaan kalimah Allah itu kepada pihak tertentu bakal menimbulkan kekeliruan terutama dalam kalangan orang Islam.

Sedangkan tegasnya, isu tersebut berkait soal akidah Islam dan takrifan kalimah Allah mesti diberikan secara benar sebagaimana dalam surah al-Ikhlas yakni Allah itu Esa dan tidak beranak atau sepertimana makhluk.

“Sebab itu kita buat usul dalam Parlimen supaya kerajaan menerima takrifan kalimah Allah itu sebagai takrifan surah al-Ikhlas. Kita buat melalui Ahli Parlimen Jasin (Tuan Guru Zulkifli Ismail). Kita kemukakan, tapi Parlimen tolak. 

“Dan kita harapkan pertimbangan dapat diangkat oleh Majlis Raja-raja, ya. Yang kedua, bukan kalimah Allah saja, (tetapi juga) kalimah Kaabah, kiblat, solat. (Supaya elak) Nanti orang faham sembahyang (atau) solat dalam Islam sama dengan solat dalam Kristian.

“Ataupun (jika digunakan juga oleh) agama-agama lain, ini antara kekeliruan yang mungkin (boleh) berlaku. Sebab itu kita menentang dan kita harapkan MKI. Sekarang ni rakyat bergantung pada MKI yang dipengerusikan Tuanku Sultan Selangor.

“Supaya memperteguhkan, mempertahankan dan mendesak agar rayuan diteruskan di peringkat lebih tinggi,” ujar beliau yang juga ADUN Cheka. – HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -