Demam Benzema landa Jeddah

Benzema ketika tiba di Jeddah, Rabu lalu. - REUTERS
- Advertisement -

JEDDAH: Juara Arab Saudi, Al-Ittihad menjual lebih 56,000 tiket untuk majlis memperkenalkan Karim Benzema di Stadium Bandaraya Sukan Raja Abdullah, hanya dalam tempoh beberapa jam selepas jualan diumumkan Rabu lalu.

- Advertisement -

Penyerang Perancis dan pemenang Ballon d’Or itu menandatangani kontrak tiga musim bernilai AS165 juta bersama kelab Liga Pro Saudi pada Selasa lalu.

Tiket untuk majlis memperkenalkan bekas kapten Real Madrid di arena 62,000 tempat duduk yang dikenali penduduk tempatan sebagai ‘Permata Bersinar’, bermula serendah sembilan Riyal (AS$2.40).

Sebilangan besar penyokong yang memakai warna kelab itu, kuning dan hitam, menyambut Benzema sebaik tiba di bandar ini pada malam Rabu lalu dan mengadakan sidang akhbar pertama pada Khamis sebelum diperkenalkan kepada peminat.

Benzema, 35, adalah pembelian pertama Al-Ittihad selepas memenangi kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2009 dengan rakan senegara N’Golo Kante dijangka menyertainya dari Chelsea tidak lama lagi.

Cristiano Ronaldo lebih awal berada di Liga Pro Saudi dengan menandatangani kontrak lumayan bersama Al-Nassr pada Disember lalu.

Kelab-kelab Arab Saudi menyasarkan nama besar lain dalam beberapa bulan akan datang dengan pemain seperti Sergio Busquets, Angel Di Maria, Jordi Alba dan Sergio Ramos, dikaitkan dengan perpindahan ke negara padang pasir itu.

Sumber yang rapat dengan kapten Argentina, Lionel Messi bulan lalu, memberitahu Reuters bahawa dia telah menerima tawaran rasmi untuk menyertai Al-Hilal, tetapi pemenang Piala Dunia berusia 35 tahun itu memutuskan untuk menyertai Inter Miami di Amerika Syarikat. – REUTERS

- Advertisement -