
AMPANG: “PAS bukan Tuhan kerana tidak terlepas daripada melakukan kesilapan,” demikian kata Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Jelasnya, PAS sebuah parti politik yang bersifat terbuka dalam menerima sebarang teguran, jauh berbeza daripada gambaran negatif dilabelkan pihak parti lawan selama ini.
“Kami pihak PAS sendiri mengakui melakukan banyak kesilapan dan oleh sebab itu, dalam PAS dasarnya ialah Islam dan Islam itulah yang Tuhan bawa,” katanya.
Beliau mengakui bahawa ada kalanya pihak PAS sendiri melakukan kesilapan yang sememangnya perlu diperbetulkan.

“Kami (PAS) semua boleh (berfikiran) terbuka pada bila-bila masa untuk ditegur sebarang kesilapan kami, kerana kami tak semestinya betul sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Dialog Perpaduan Pemuda PAS Malaysia di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor malam tadi.
Majoriti tetamu ‘non-Muslim’
Apa yang menarik dan unik adalah majoriti tetamu majlis tersebut adalah dari kalangan bukan Melayu dan ‘non-Muslim’ (bukan Islam) termasuk wakil daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mereka terdiri daripada berbilang bangsa termasuklah pertubuhan Persatuan Penganut Agama Buddha, Christian for Peace & Harmony, dan banyak lagi.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali; Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman; dan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Bermatlamat mengadakan dialog perpaduan antara semua bangsa di negara ini sesi soal jawab secara terbuka dan terperinci tetapi secara santai, Afnan Hamimi, Dr Halimah dan Mohd Syahir dijemput naik ke atas pentas sebagai ahli panel.

Ketika ditanya mengenai PAS yang sering dan hangatdikaitkan dengan isu rasisme, Dr. Halimah menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang masalah tentang masalah perkauman di negara ini.
Beliau menyatakan bahawa dalam al-Quran surah Hujurat ayat 13 dapat menerangkan secara nyata mengenai hal tersebut.
“Dalam ayat tersebut, Allah SWT menciptakan kamu (manusia) daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, jadi tiada diskriminasi antara lelaki dan perempuan dalam Islam kerana setiap seorang daripada kita lahir daripada lelaki dan perempuan,” katanya.
Beliau menambah bahawa dalam ayat tersebut turut menerangkan penciptaan Allah SWT terhadap setiap manusia yang pelbagai kaum.

“Ini menunjukkan bahawa satu kaum tidak boleh kata dirinya lebih daripada kaum yang lain.
“Bagi kami pihak PAS sendiri, sememangnya tiada sebarang masalah terhadap pelbagai bangsa, pelbagai bahasa, pelbagai warna kulit, sebagaimana semuanya ada (disebut) dalam ayat tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa PAS sendiri tidak boleh bersifat rasisme memandangkan dasarnya merupakan Islam, yang menyaksikan Al-Quran sebagai manual utamanya.
“Al-Quran sendiri melarang kami (orang Islam) daripada bersifat rasis, berlaku tidak adil kepada mana-mana kaum, warna kulit, bangsa, bahasa termasuk agama lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2023