Anak Krakatau meletus, semburkan abu volkanik 3km

Gunung Berapi Anak Krakatau memuntahkan abu tebal ke atas selat yang memisahkan pulau Jawa dan Sumatera. (FOTO FAIL: AFP)
- Advertisement -

JAKARTA: Gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia meletus pada hari ini, Jumaat (9 Jun), mengeluarkan ‘tiang’ abu lebih tiga kilometer ke langit.

- Advertisement -

Pihak berkuasa Indonesia berkata, pulau yang menjadi lokasi gunung berapi itu muncul dari laut pada awal abad yang lalu dari kawah yang terbentuk selepas letusan Gunung Krakatau pada 1883 yang telah mengorbankan 36,417 nyawa, lapor AFP.

Anak Krakatau memuntahkan abu tebal ke atas selat yang memisahkan pulau Jawa dan Sumatera.

Namun, tiada laporan segera mengenai sebarang kerosakan fizikal atau kemalangan jiwa selepas letusan pada jam 8:46 pagi (0146 GMT).

“Ketinggian lajur letusan abu volkanik diperhatikan adalah 3 kilometer (hampir 10,000 kaki) di atas puncak,” kata seorang pegawai dari stesen pemantau Krakatoa, Deny Mardiono dalam satu kenyataan akhbar.

“Lajur abu diperhatikan berwarna kelabu hingga hitam dengan intensiti tebal ke arah barat daya,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti dalam radius lima kilometer (tiga batu) dari kawah gunung berapi itu.

Status Anak Krakatoa itu berada pada tahap amaran kedua tertinggi selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran pertama pada 2022 berikutan peningkatan mendadak dalam aktiviti gunung berapi tersebut.

Pada 2018, sebahagian kawah Anak Krakatoa runtuh apabila letusan besar menyebabkan ketulan besar tergelincir ke lautan, mencetuskan tsunami  dan mengorbankan lebih 400 nyawa  dan mencederakan ribuan yang lain.

Sebagai sebuah negara kepulauan Asia Tenggara, terletak di Lingkaran Api Pasifik, lokasi di mana pertemuan plat benua menyebabkan aktiviti gunung berapi dan seismik yang tinggi, Indonesia mempunyai  hampir 130 gunung berapi aktif. – HARAKAHDAILY 9/6/2023

- Advertisement -