
ALOR SETAR: Seramai 441 (1.81 peratus) daripada 29,745 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 seluruh Kedah berjaya memperolehi gred A bagi semua mata pelajaran yang didudukinya, dengan 15 daripada mereka mendapat keputusan cemerlang A+ dan A.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Ismail Othman mewakili pihak Pengarah Pendidikan Kedah, semalam.
Keputusan SPM 2022 yang dikeluarkan kira-kira jam 10 pagi semalam itu juga mencatatkan lima calon dari kategori calon istimewa turut memperolehi pencapaian cemerlang.
Daripada 29,745 calon, 86.46 peratus (25,718) calon sekolah kerajaan sementara 57 calon (0.192 peratus) adalah Calon Keperluan Khas (CBK).
Dalam pada itu 19 buah sekolah mencapai keputusan Gred Purata Sekolah (GPS) di bawah 3.0 untuk 2022 berbanding 17 buah sekolah (2021).
Secara keseluruhannya, Gred Purata (GP) Negeri meningkat 0.16 (4.98) berbanding 5.14 (2021). Sementara, jumlah layak menduduki peperiksaan tahun 2022 meningkat ke 3.92 peratus dengan jumlah 90.21 peratus melebihi 86.29 peratus (2021)
Dalam pada itu Maktab Mahmud Alor Setar, mencapai kelulusan 100 peratus melibatkan 263 calon SPM 2022.
Daripada jumlah itu, 10 calon mendapat pencapaian A pada keseluruhan mata pelajaran, manakala seorang daripadanya mencapai keputusan cemerlang 10 (A+) dan 1(A).
Menurut pengetua sekolah berkenaan, Ustaz Abdul Jamil Mohamad, kesemua calon mengambil 11 mata pelajaran daripada 17 yang ditawarkan.
Empat mata pelajaran mencapai peningkatan gred A+ dan A iaitu Bahasa Melayu (215 calon), Matematik (199 calon), Sejarah (185 calon) dan Sains.
Pada perkembangan yang sama, pencapaian GPS SPM 2022 untuk Maktab Makmud seluruh Kedah dan Mahaad Tahfiz Sains Darul Aman adalah seperti berikut: Maktab Mahmud Yan (1.91), Pendang (2.4), Kuala Muda (2.53),Kulim (2.57), Baling (2.74) Alor Setar (2.8), Padang Terap (3.12),Pokok Sena (3.45) dan Sik (3.5).
Sementara Maktab Mahmud Merbok (3.54), Bandar Baharu (4.10) , Langkawi (4.10) dan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (2.08). – HARAKAHDAILY 9/6/2023