20 pelajar keracunan minum air berkarbonat campur ‘spirit’

Dr Asits Sanna
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Seramai 20 pelajar sebuah sekolah menengah berasrama di Pitas terlibat dalam kes keracunan metanol, dipercayai berpunca akibat meminum campuran air berkarbonat dan ‘spirit’ pada Selasa lepas (6 Jun).

- Advertisement -

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam) Dr Asits Sanna berkata mangsa berusia antara 13 hingga 17 tahun dan lapan daripadanya mengalami gejala seperti lemah badan, sakit perut, muntah, kabur penglihatan serta pening kepala, manakala 12 lagi tidak bergejala.

Beliau berkata daripada kumpulan yang bergejala itu, kesihatan dua pelajar semakin merosot dan masing-masing telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan ICU Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan lanjut, semalam.

“.. (daripada kes bergelaja) sebanyak lima kes lagi telah dihantar ke HQE untuk rawatan lanjut dan satu kes masih dirawat di Hospital Pitas. Siasatan awal mendapati mangsa mengambil minuman itu pada pukul 2.30 petang, Selasa lalu,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Katanya semua kes telah mendapat rawatan awal di Hospital Pitas.

Pitas, sebuah daerah di utara Sabah, terletak kira-kira 175 kilometer dari sini.

Dr Asits berkata 12 pelajar yang tidak bergejala itu telah dimasukkan ke wad di Hospital Pitas untuk pemantauan dan rawatan seterusnya.

Beliau berkata sampel berkaitan telah diambil untuk pengesahan kehadiran metanol termasuk darah, urin, serta sampel ‘spirit’, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa memantau keadaan mangsa dan bekerjasama dengan sekolah serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah juga Pejabat Pendidikan Daerah Pitas bagi menjalankan siasatan lanjut, selain mengambil langkah mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya.

Katanya seseorang yang keracunan metanol mungkin tidak menunjukkan apa-apa gejala untuk tempoh satu hingga 72 jam selepas pengambilan.

“Gejala akan wujud dengan lebih cepat jika metanol diminum dalam kuantiti banyak dan adalah lebih lambat jika diminum dalam kuantiti yang sedikit atau diminum bersama etanol. Keracunan metanol juga boleh disebabkan oleh penyalahgunaan metanol sebagai bahan pembuat minuman keras,” katanya.

Dr Asits menegaskan mengambil minuman beralkohol tidak sah dan tercemar adalah berbahaya; selain menasihatkan orang ramai mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala atau kabur penglihatan. – BERNAMA

- Advertisement -