UK tuan rumah sidang kemuncak AI pertama dunia

Kemajuan pesat teknologi AI seperti ChatGPT (bot sembang yang dilancarkan OpenAI pada November 2022) yang disokong Microsoft merumitkan usaha kerajaan pelbagai negara di dunia untuk saling bersetuju antara satu sama lain dengan undang-undang yang mengawal penggunaan teknologi tersebut. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

LONDON: United Kingdom akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pertama di dunia mengenai kecerdasan buatan (AI) yang dijadualkan akan diadakan pada akhir tahun ini, dalam usahanya untuk menjadi broker pendekatan bersama untuk mengehadkan potensi risiko bahaya teknologi berkenaan sambil memanfaatkan potensinya.

- Advertisement -

Perdana Menteri Rishi Sunak berkata sejurus mengadakan rundingan Rumah Putih dengan Presiden AS, Joe Biden pada Khamis berkata, AI mempunyai potensi yang luar biasa untuk mengubah kehidupan manusia menjadi lebih baik, lapor Reuters.

“Namun  kita perlu memastikan AI dibangunkan dan digunakan dengan cara yang selamat dan terjamin,” katanya.

“Berkali-kali sepanjang sejarah, kita telah mencipta teknologi baharu yang mengubah paradigma dan kami telah memanfaatkannya untuk kebaikan manusia. Itulah yang mesti kami lakukan sekali lagi,” tambah beliau.

Sementara jurucakap Sunak dalam kenyataannya berkata, gesaan G7 di Jepun pada bulan lepas untuk bertindak menangani risiko AI, sidang kemuncak tersebut dijangka berlangsung pada musim luruh dan akan mengumpulkan ‘negara yang berfikiran sama’ untuk membentuk kolaborasi tindak balas kawal selia terhadap teknologi berkenaan.

Jurucakap itu bagaimanapun  menafikan bahawa sidang kemuncak itu bertujuan sebagai pengimbang kepada usaha menggunakan AI oleh negara seperti China dan Rusia.

Namun, sementara Britain pasca-Brexit juga kelihatan menjadi tuan rumah pengawal selia dunia masa depan untuk AI, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) sudah pun menongkah ke depan dengan dialog langsung mereka sendiri mengenai teknologi yang kini sedang berkembang pesat itu.

Nafi Biden tak ambil tahu tentang AI

Dalam pada itu Sunak,43, menafikan bahawa Presiden AS, Joe Biden, 80, tidak mempedulikan mengenai risiko AI, selepas seorang penasihat UK memberi amaran teknologi berkenaan boleh ‘menghapuskan’ manusia dalam tempoh dua tahun.

“Sebenarnya, kami membincangkan tentang AI buatan ketika kami berada di Jepun bersama-sama dengan Presiden (di G7) dan saya tahu dia juga sedar tentang cabaran dan peluang yang ditimbulkan  teknologi itu,” kata Sunak kepada TalkTV Britain.

“Namun,  saya juga tahu Presiden memikirkan tentang ancaman yang dihadapi negara kita pada masa depan dan memastikan kita bekerjasama untuk melindungi kedua-dua negara kita daripada risiko AS,” tegasnya, menunjukkan sokongan AS untuk sidang kemuncak di UK itu.

Beliau juga menolak bahawa UK ‘dikerah’ agar menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak  pertama di dunia mengenai AI itu, lapor BBC.

“Saya fikir kita harus mempunyai keyakinan terhadap  negara kita menjadi pemimpin apabila ia berkaitan dengan AI kerana itulah fakta yang ditunjukkan.

“Jika anda melihat pada bilangan syarikat, jumlah yang dilaburkan, kualiti penyelidikan United Kingdom, selain AS, tidak ada negara demokratik lain yang mempunyai kekuatan itu dalam sektor AI,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -