Tharman umum bertanding pemilihan Presiden Singapura

Tharman Shanmugaratnam
- Advertisement -

SINGAPURA: Menteri Kanan Singapura Tharman Shanmugaratnam memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang yang dijangka berlangsung pada September tahun ini.

- Advertisement -

“Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa saya telah memutuskan untuk menawarkan diri sebagai calon dalam pilihan raya presiden akan datang. Oleh itu, saya akan bersara daripada politik dan semua jawatan saya dalam Kerajaan,” katanya dalam surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini.

Lee ialah setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Tharman, 66, berkata beliau berhasrat meletak jawatan daripada PAP dan jawatan sebagai Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Dasar Sosial pada 7 Julai.

Beliau juga akan meletak jawatan sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), timbalan pengerusi Government of Singapore Investment Corporation (GIC), pengerusi Majlis Penasihat Antarabangsa Lembaga Pembangunan Ekonomi dan jawatan lain yang dilaksanakan dalam kapasiti jawatan menterinya.

Ahli Parlimen di kawasan perwakilan kumpulan (GRC) Jurong itu telah berkhidmat dalam politik Singapura selama 22 tahun.

Dalam jawapannya, Lee berkata peletakan jawatan Tharman daripada Kabinet dan parti merupakan kehilangan besar kepada beliau dan pasukannya.

“Tetapi saya faham mengapa anda memutuskan untuk mengambil langkah ini dan bertanding jawatan Presiden. Ia adalah selaras dengan semangat perkhidmatan awam dan rasa tanggungjawab yang telah anda tunjukkan selama ini,” kata Lee.

Pada 29 Mei, Presiden Singapura Halimah Yacob mengumumkan tidak bertanding semula dalam pilihan raya presiden.

Isi kandungan surat boleh dibaca di https://www.pmo.gov.sg/Newsroom/Letter-Exchange-between-PM-Lee-Hsien-Loong-and-SM-Tharman-Shanmugaratnam. – BERNAMA

- Advertisement -