Saudi, Rusia bincang kerjasama OPEC+

Putera Mohammed dan Vladimir Putin telah mengadakan perbincangan hubungan dua hala dari segi ekonomi antara Arab Saudi dan Rusia pada 7 Jun 2023. (FOTO: SPA)
- Advertisement -

MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin dan Putera Mahkota Saudi Mohammad bin Salman al Saud mengadakan  perbincangan melalui telefon, membincangkan kerjasama dalam OPEC+.

- Advertisement -

Pejabat akhbar Kremlin menurut laporan agensi berita Rusia, TASS mengumumkan perkara tersebut pada Rabu (7 Jun), hari yang sama agensi berita rasmi Arab Saudi, Saudi Press Agency (SPA) melaporkan Putera Mohammed menerima panggilan telefon daripada Putin.

Semasa panggilan itu, kedua-dua pemimpin negara berkenaan membincangkan hubungan antara kedua-dua negara dan cara membangunkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai beberapa isu dan perkara yang menjadi perhatian bersama,” lapor SPA.

TASS pula melaporkan bahawa kedua-dua pihak Saudi dan Rusia memuji tahap kerjasama dalam OPEC+, yang memungkinkan untuk mengambil langkah yang tepat pada masanya dan cekap untuk mengekalkan keseimbangan permintaan dan bekalan minyak. 

“Kedua-dua pihak menyatakan kepentingan perjanjian dalam hal ini, dicapai semasa mesyuarat menteri di Riyadh baru-baru ini,” ujar ibu pejabat TASS di sini.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) adalah sebuah pertubuhan antarakerajaan yang ditubuhkan pada 1960 di Baghdad oleh Iran, Iraq, Kuwait, Saudi dan Venezuela dan dan kemudiannnya berpangkalan ibu pejabatnya di Vienna, Austria sejak tahun 1965.

Sekutu OPEC, kumpulan dikenali sebagai OPEC+ pula merupakan sekumpulan 23 negara pengeksport minyak yang bermesyuarat secara berkala untuk menentukan jumlah minyak mentah untuk dijual di pasaran dunia; yang mana teras kumpulan ini adalah 13 ahli OPEC yang kebanyakannya negara-negara di  Timur Tengah dan Afrika.

Sementara tambah laporan TASS itu, kedua-dua pemimpin berkenaan  juga menyentuh topik peningkatan hubungan perdagangan dan ekonomi antara Rusia dan Arab Saudi sebagai pelaksanaan ‘projek bersama perspektif dalam pelaburan, logistik pengangkutan dan tenaga’.

“Di samping itu, kedua-dua pihak ‘secara substansial mengkaji semula isu memastikan kestabilan pasaran tenaga global.

“Mereka juga membincangkan pelbagai aspek kerjasama Rusia-Saudi dalam organisasi pelbagai hala lain dan bersetuju untuk meneruskan hubungan di pelbagai peringkat,” kata laporan TASS berkenaan.

Kali terakhir Putin dan Putera Mahkota Saudi mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon adalah  pada 21 April 2023. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -