Pangkalan data tentukan status jemaah haji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tabung Haji bekerjasama dengan kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data sedia ada berkaitan pendapatan jemaah haji yang terpilih.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata jemaah haji kumpulan B40 dan M40 dikenal pasti berdasarkan senarai penerima Sumbangan Tunai Rahmah dari Kerajaan.

Menurutnya, jemaah kumpulan T20 pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan individu bulanan melebihi RM15,000 dan bukan berasaskan pendapatan isi rumah.

Bagi musim haji tahun ini, katanya sebanyak 45.7 peratus yang terpilih terdiri dari jemaah haji kumpulan B40, 52.3 peratus pula dari jemaah haji kumpulan M40 dan selebihnya, iaitu 2.0 peratus dari kumpulan T20.

“Pemberian Bantuan Kewangan Haji secara bersasar dapat membantu Tabung Haji menampung perbelanjaan kos operasi haji keseluruhan bagi memastikan kelestarian kewangannya untuk masa hadapan.

“Disamping itu, ia memastikan manfaat bantuan kewangan dapat dirasai sepenuhnya oleh golongan yang paling memerlukan,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff bertanyakan kriteria yang digunakan untuk mengklasifikasikan golongan B40, M40 dan T20 dalam menentukan mereka yang menerima tawaran untuk mengerjakan haji tahun ini dan jumlah jemaah haji yang menerima tawaran tersebut pada tahun ini.

Sementara itu, Dr Mohd Na’im berkata, peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana terdedah kepada faktor di luar kawalan Tabung Haji seperti kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding Saudi Riyal dan Dollar Amerika.

Selain itu, katanya, projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan serta caj oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci.

Bagi musim haji tahun ini, katanya kos haji adalah RM30,850 untuk setiap jemaah muassasah, iaitu peningkatan lapan peratus berbanding RM28,632 tahun lepas.

Mulai 2022, katanya TH memperkenalkan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi kumpulan B40 dan bukan B40. Usaha ini diteruskan pada tahun 2023 bagi kumpulan B40 dan M40, manakala kumpulan T20 ditetapkan untuk bayaran penuh kos haji. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -