Misi bantuan gempa bumi Turkiye-Syria disempurnakan

- Advertisement -

BENCANA gempa yang melanda Turkiye dan Syria masih meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penduduk di wilayah terbabit, terutama mereka yang menjadi mangsa. 

Kehilangan anggota keluarga, tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan menambahkan lagi kesulitan untuk meneruskan kehidupan.  

Bagi meringankan sedikit penanggungan, atau sekurang-kurangnya sebagai tanda keprihatinan, PASRelief bersama 39 NGO menggembleng tenaga bagi membantu mangsa di sana. 

Setakat ini, sebanyak lima misi kemanusiaan telah disempurnakan dengan yang terbaru pada 3 hingga 7 Jun lalu diketuai Pengarah Aid 4 Turkiye dan Syria, YB Ustaz Mohd Yusni Mat Piah bersama lapan delegasi serta dua wakil media.

Dalam misi delegasi sembilan anggota yang turut  disertai dua wakil media, sebanyak 36 buah kontena  diserahkan kepada mangsa untuk dijadikan tempat tinggal sementara. 

Selain itu, bantuan food pack dan food truck turut disediakan. 

Sekretariat Aid4Turkiye&Syria akan berusaha untuk menyalurkan lebih banyak bantuan berbentuk kontena penempatan sebanyak 100 unit. 

Kontena dilengkapi perabot asas serta bekalan elektrik dan air bersih ini berharga RM30,000 setiap unit. 

Selain itu, bantuan 10 food truck dengan kos RM100,000 bagi setiap trak adalah termasuk makanan asas, selimut dan pakaian musim sejuk.

Misi ini digerakkan atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan dan akan terus dijalankan bagi memenuhi keperluan semasa mangsa gempa bumi.

Pihak Aid4Turkiye&Syria amat menghargai komitmen serta keprihatinan rakyat Malaysia yang menyumbang melalui sekretariat ini dan Alhamdulillah misi ke-5 kali ini delegasi berjaya masuk ke Idlib dan Halab di Syria.

Bagi mencapai perancangan bantuan, pihak sekretariat menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk terus menyumbang dan menyokong kempen Aid 4 Turkiye dan Syria bagi menjayakan misi bantuan yang seterusnya. 

Segala maklumat lanjut mengenai misi dan bantuan boleh hubungi sekretariat Aid 4 Turkiye dan Syria, saudara Ahmad Rashdan di talian +60173333881.

Terima kasih.

DATO’ SERI HAJI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR 
Pengerusi Aid 4 Turkiye & Syria 
8 Jun 2023 – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -