Jangan lupa jasa wira tidak didendang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengingatkan kerajaan sekarang supaya tidak melupakan pengorbanan semua pihak yang bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Setakat Februari lalu, lebih lima juta kes Covid-19 direkodkan, lebih 800,000 orang dirawat di hospital dan meragut lebih 36,000 kematian di negara ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, pandemik Covid-19 juga hampir melumpuhkan perkhidmatan kesihatan kebangsaan.

“Saya mengharapkan kerajaan supaya tidak melupai peranan semua pihak yang bertungkus-lumus menyumbang bakti, termasuk sukarelawan.

“Kita perlu menghargai mereka dan mungkin juga boleh menjadi persiapan kita menghadapi bencana lain pada masa depan,” katanya dalam perbahasan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, beliau ingin tahu status kemajuan pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC) bernilai RM284 juta di Kawasan Perindustrian Enstek, Negeri Sembilan.

“Saya berharap NCDC benar-benar menjadi pusat kawalan penyakit pada masa akan datang apabila negara menghadapi masalah yang sama,” katanya.

Dr Ahmad Yunus turut membangkitkan persediaan negara membangunkan vaksin tempatan.

“Adakah kita bersedia untuk membawa balik saintis atau pakar kita yang berada di luar sana atau adakah kita mempunyai perancangan untuk membangunkan kepakaran tempatan yang dapat membangunkan vaksin sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -