Apakah hasil lawatan PM ke Arab Saudi?

Ahli Parlimen Kuala Krai
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, tidak menjawab soalan berhubung kejayaan lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi, termasuk bagi menambah kouta haji.

- Advertisement -

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Abdul Latiff bin Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) bertanyakan kejayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menambah kouta jemaah haji ketika melawat Arab Saudi.

Menjelaskan perkara itu, Dr Mohd Na’im menjawab, kerajaan masih menunggu kuota tambahan dari kerajaan Arab Saudi selepas menghantar surat rayuan mengenainya.

Pada 22 Mac lepas, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi selama tiga hari bagi membincangkan pelbagai isu dan kerjasama dua hala.

Sementara itu, Abdul Latiff mempersoalkan mengapa golongan B40 yang membuat rayuan mengerjakan haji tahun ini, dikenakan bayaran penuh sebanyak RM30,800.

Dr Mohd Na’im berkata, terdapat dua kategori mereka yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini.

Katanya, pertama ialah golongan yang bertindak sebagai mahram kepada jemaah haji yang disenarai dapat menunaikan haji tahun ini dan kedua, individu yang membuat rayuan untuk bertindak sebagai pengiring kepada jemaah haji.

“Mereka masih diberi pengecualian mendapat tawaran pada harga subsidi yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya mereka yang membuat rayuan kerana tidak disenaraikan menunaikan haji tahun ini dikenakan kadar bayaran tanpa subsidi iaitu RM30,800.

Menurutnya juga, keutamaan senarai jemaah haji yang dipilih tahun ini ialah mereka yang disenaraikan tahun 2021 dan 2022, namun tidak berpeluang menunaikan ibadah haji ketika itu kerana sebab tertentu.

“Saya juga bersetuju dengan cadangan YB Kuala Krai bagi mencari kaedah lebih holistik bagi memastikan tempoh menunggu jemaah haji begitu lama dapat dikurangkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -