1.2 juta warganegara China ‘sembunyi’ dalam Malaysia?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 523 orang warganegara China telah ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen di mana 109 orang daripada mereka telah diusir dari depot imigresen seluruh negara setakat 11 Mei 2023.

Kementerani Dalam Negeri (KDN) menjawab demikian kepada pertanyaan lisan Dato’ Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Ahmad Marzuk dalam soalannya kewajaran kerajaan membuat kelonggaran syarat visa bagi pelancong China sedangkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaporkan 1.2 juta warganegara tersebut tidak keluar dari Malaysia sejak tahun 2021.

Dengan jawapan tersebut bermakna jumlah besar pernah direkodkan itu masih berada dalam negara sehingga kini walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak berkomplot aspek keselamatan.

“Melibatkan kemasukan dan keberadaan warga asing di dalam negara. Antara strategi yang dilaksanakan adalah mengenakan syarat keperluan visa ke atas warganegara asing tertentu. 

“Ini bagi memastikan kemasukan pelancong asing termasuk daripada China adalah yang benar-benar bertujuan lawatan sosial, tulen, berkemampuan dari segi kewangan dan tidak tergolong sebagai imigran larangan.

“Serta tidak termasuk dalam senarai syak JIM. Selain daripada syarat keperluan visa, JIM juga melaksanakan prosedur kawalan pintu masuk yang ketat. Antaranya setiap pelancong asing mestilah mempunyai dokumen perjalanan yang masih sah berlaku.

“(Juga) mempunyai tiket kapal terbang pergi dan balik, bukti tempahan hotel, jadual perjalanan (travel itinerary) serta soal jawab ringkas ke atas pelawat asing,” ujar jawapan yang dilihat tidak selari dengan realiti berlaku. 

Menurut KDN, JIM telah memandatorikan semua pelancong asing mestilah tidak mempunyai rekod di dalam senarai syak sebelum kebenaran masuk diberikan, selain penguatkuasaan berterusan juga dilaksanakan.

Jelasnya, ini bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan PATI warganegara asing termasuk China di seluruh Malaysia di mana sepanjang tahun 2022, sebanyak 8,033 operasi dan 115,134 pemeriksaan telah dijalankan.

“Operasi yang dijalankan tersebut telah membawa kepada penangkapan seramai 22,804 orang PATI dan 371 Majikan. Sehingga 11 Mei 2023, sebanyak 3,026 operasi dan 33,642 pemeriksaan telah dijalankan ke atas PATI dan Majikan di seluruh negara. 

“Operasi yang dijalankan tersebut telah membawa kepada penangkapan seramai 7,996 orang PATI dan 116 Majikan. Selain itu, 12,370 orang PATI turut ditangkap di pintu-pintu masuk dan secara serahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“(Iaitu) di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 menjadikan keseluruhan PATI yang ditangkap adalah seramai 20,366 orang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -