Sejarah: Siam tidak pernah perintah, jajah Kedah

Sanusi jawab Anwar dan Ramasamy

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan kononnya Siam pernah memerintah atau menjajah Kedah adalah angan-angan fatamorgana yang telah dinafikan oleh dokumen sejarah dan kes-kes mahkamah pada masa dahulu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membalas dakwaan yang disebut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Ramasamy Punisamy berkaitan itu.

Penerangan beliau mengenai hal tersebut menjadi ‘kuliah sejarah’ yang disampaikannya sebagai menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media selepas diambil keterangan polis di Wisma Darul Aman, di sini petang tadi.

Menurut Sanusi, Pulau Pinang penuh sentimental kepada Kedah khususnya kepada Kesultanan Kedah yang merupakan satu-satunya pemerintahan tidak pernah putus susur galurnya sejak 1,000 tahun.

Katanya, Sultan Kedah ketika ini adalah sultan ke-29, sedang peristiwa penjajahan Francis Light dan penipuan British kepada Kesultanan Kedah tahun 1786, 1821, 1863, 1923, berlaku pada ketika pemerintahan Sultan Kedah ke-20, 21 dan 22.

“Tak jauh daripada kita. Kalau tengok apa yang British buat pada masa itu sehingga mereka dapat ambil Pulau Pinang menjadi Negeri Selatlah. Saya rasa semua orang Kedah kalau baca cerita itu mereka akan menangis.

“Saya pun kalau baca balik saya sebut balik pun sebak juga sejarah derita yang terpaksa dilalui oleh rakyat Kedah dan Kesultanan Kedah akibat daripada Pulau Pinang. Daripada tahun 1786 sampai tahun 1821.

“Apabila Perang Musuh Bisik tercetus pada masa itu para pengkaji sejarah menganggarkan penduduk negeri Kedah berjumlah 60,000 orang selepas perjanjian Pulau Pinang, Inggeris pun mengaku kata dia nak tolong kita, lindung kita pada serangan Siam apa semua ni.

“Padahal Inggeris tak tolong, padahal dia tolong Siam pula dia bagi senjata, penduduk Kedah selepas Perang Musuh Bisik tinggal 6,000 (orang). Hat lain itu dibunuh dengan kejam, disembelih, dibelah perut, kanak-kanak dihampuk ke pokok, dihimpun dalam perahu, dihanyut dan dibakar, kejam.

“Dia tulis butcherd. Butcherd ni macam sembelihlah. Berpuluh-puluh ribu rakyat Kedah. Jadi derita itu masih bernanah kalau disentuh masih berdarah. Tapi janganlah apa bermudah-mudahan sangat.

“Kedah pun ada sentimental dia dalam semua peristiwa sejarah itu. Takkan nak suruh kita lupa macam itu? Apa kekejaman penipuan, penindasan, kezaliman hingga sultan terpaksa tinggal di dalam perahu di Kuala Sungai Merbok sampai tak boleh nak buat apa.

“Dia kata kalau nak suruh saya surrender, dak. Kalau nak penggal saya, sila penggal. Tak boleh buat apa pada masa itu kekejaman dan kejahatan British. Ada Datuk Seri Anwar kata kalau kita ungkit ini semua, Siam akan ungkit juga Perjanjian Siam dan ke atas Kedah pemilikan Siam ke atas Kedah,” kesannya.

Lanjut Sanusi, seluruh dokumen ahli sejarah dan penghakiman pada tahun 1906 dalam kes Tengku Saad yang menentang Siam dalam pendakwaan ke atasnya kerana perang itu dibicarakan tahun 1906.

Katanya, hakim pada masa itu mendapati Kedah sebenarnya negeri berdaulat dan tidak ada satu dokumen pun yang menyokong bahawa telah berlaku satu pemerintahan efektif Siam ke atas Kedah dari tahun 1821 sampailah sekarang.

Jelasnya, pada waktu dikatakan Kedah dijajah oleh Siam itu pun, semua pentadbiran dilaksanakan oleh Sultan Kedah, termasuk Surat Putus Kecil, iaitu geran tanah ketika ini, ditandatangani dan dikeluarkan oleh Tuanku Sultan.

“Kalau Siam yang jajah, surat putus kecik mesti Siam signed pasal dia jajah kita. Tak pernah berlaku. Semua ada. Depa kata bayar ufti. Cerita ufti ni macam ni. Pada zaman  Kerajaan Ayutia, Ayutia ni Kerajaan Islam di Siamlah di Thailand sekaran inilah, Ayutia kerajaan besar.

“Kerajaan Ayuti ini sistem pemerintahan bergilir-gilir antara negeri-negeri Islam pada masa itu, dia bergilir menjadi sultan kerajaan Ayutia, termasuk Kelantan, Terengganu apa semua ini menghantar bunga emas sebagai tanda persahabatan dengan kerajaan Ayutia.

“Kerajaan Ayutia pun bersahabat dengan Kerajaan Champa. Kerajaan Champa ni pernah melahirkan ulamak-ulamak besar. Antara ulamak besar daripada kerajaan Champa yang mengislamkan Sriwijaya adalah Sunan Ampil. Dia dari Champa.

“Kuburnya pusaranya ada di Surabaya, makam Sunan Ampil. Itu dari Champa. Itu zaman itu. Ayutia adalah Islam sebelum diserang dan dimusnahkan dalam peperangan orang Thai daripada atas.

“Daripada Sungai Kuning turun serang Kerajaan Ayutia memusnahkan kerajaan Islam Ayutia. Dia bukan Thai yang kulit macam saya ni. Thai kulit putih,” ceritanya mengenai ufti bunga emas sebagai persahabatan. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -