Pertahan naratif sejarah P Pinang-Kedah bukan jenayah

PAS Kedah zahir sokongan ke atas MB

- Advertisement -

PAS Kedah ingin menegaskan bahawa mempertahankan naratif sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah bukan suatu perlakuan jenayah, bahkan tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai suatu bentuk hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan. 

PAS Kedah turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor. Pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputarbelit bahkan mempunyai sokongan kajian yang kukuh. 

Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini. Kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar PH dalam PRU ke-15 yang lalu. 

Kerajaan Negeri Kedah telah berulangkali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis. Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini. 

PAS Kedah turut berpegang kepada pendirian bahawa isu ini tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah. Isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara. 

Oleh itu, PAS Kedah yakin bahawa membahaskan fakta sejarah bukan suatu kesalahan jenayah. Hakikatnya, sememangnya terdapat usaha membunuh karakter seorang yang bernama Sanusi. Mereka lebih berminat menjatuhkan Menteri Besar Kedah berbanding berbahas soal sejarah.

“Sayangi Kedah Sejahtera”
“Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”

DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
Ahli Parlimen Pokok Sena
7 Jun 2023 – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -