Pembangunan nadir bumi tiada hala tuju

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menyifatkan kerajaan tidak mempunyai hala tuju berhubung hala tuju pembangunan nadir bumi, bahan utama dalam Tenaga Boleh Baharu (TBB) di negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, wujud percanggahan antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung permohonan yang dikemukakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd.

Katanya, pelbagai syarat yang ditetapkan kerajaan menyukarkan Lynas untuk melabur di negara ini, sekali gus menjejaskan kepakaran dan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Saya nampak kerajaan madani ini tidak ada hala tuju yang jelas berkenaan nadir bumi yang kita bincang pada hari ini. Di sebelah Menteri Ekonomi, beliau mahu menjuarai tenaga boleh baharu.

“Pihak MOSTI pula menetapkan banyak syarat kepada syarikat ini. Kenapa kita membuat syarat yang begitu menyukarkan pelabur untuk memberi kepakaran rakyat kita di sini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kerajaan mengambil pelbagai faktor termasuk kesan kepada alam sekitar serta maklum balas penduduk tempatan.

Beliau mendakwa kerajaan sejak 2020 amat konsisten untuk mengenakan syarat-syarat dan diteruskan di bawah kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak nampak apa-apa perubahan dalam dasar kerana sejak 2020 sehingga kini terdapat empat menteri, termasuk dua menteri dari kerajaan lalu.

“Kita sudah teliti semua syarat berkenaan dan tidak ada keputusan untuk menukar syarat itu, sebab itu saya rasa konsistensi sangat penting, terutama apabila melibatkan pelaburan asing,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -