‘Wabak’ curi: New York saman Hyundai, Kia

Datuk Bandar New York, Eric Adams (tengah) dan Pesuruhjaya Jabatan Polis New York, Keechant Sewell (kanan) dalam upacara pengumuman berkaitan keselamatan awam mengenai kaitan kecurian kereta Hyundai dan Kia dengan media sosial di luar Dewan Bandaraya New York pada 30 Mac 2023. (FOTO: Ihsan Pejabat Fotografi Datuk Bandar New York)
- Advertisement -

NEW YORK: New York mengambil tindakan menyaman Hyundai Motor Co dan Kia Corp, menuduh syarikat pengeluar kereta tersohor Korea Selatan itu cuai dan menimbulkan gangguan awam dengan menjual kenderaan yang terlalu mudah untuk dicuri.

- Advertisement -

Aduan yang difailkan di mahkamah persekutuan Manhattan pada Selasa (6 Jun) itu menuntut ganti rugi pampasan dan punitif yang tidak ditentukan, lapor Reuters.

New York yang merupakan bandar paling ramai penduduk di Amerika Syarikat, menyertai beberapa bandar utama lain termasuk San Diego, Baltimore, Cleveland, Milwaukee dan Seattle yang telah menyaman Hyundai dan Kia atas dakwaan sama.

Terdahulu, USA Today pada 9 Mei 2023 melaporkan bahawa, sejak hampir tiga bulan Hyundai dan Kia melancarkan perisian baharu yang direka untuk menghalang kecurian model kenderaan keluarannya, namun ia masih gagal menyelesaikan masalah tersebut.

Di seluruh AS, kadar kecurian kereta Hyundai dan Kia kini adalah pada kadar yang amat membimbangkan.

Data daripada tujuh bandar di negara itu yang dikumpul oleh The Associated Press menunjukkan bahawa bilangan kecurian Hyundai dan Kia masih meningkat walaupun usaha telah dilakukan syarikat berkenaan untuk memperbaiki masalah itu.

Ia menjadikan 8.3 juta kenderaan kedua-dua model berkenaan di jalan-jalan raya seluruh negara itu kini menjadi sasaran yang agak mudah untuk dicuri.

Sesetengah bandar AS telah melaporkan bahawa 60% atau lebih daripada laporan kecurian kenderaan mereka kini melibatkan Hyunda atau Kia.

Dari Minneapolis, Cleveland dan St. Louis ke New York, Seattle, Atlanta dan Grand Rapids, Michigan, polis telah melaporkan peningkatan ketara tahun ke tahun dalam laporan kecurian Hyundai dan Kia sehingga April tahun ini.

Bandar kelapan, Denver, yang dilanda awal ‘wabak’ kecurian kereta Hyundai dan Kia, melaporkan pada tahun ini penurunan 23 peratus daripada paras 2022 tetapi masih mengalami jumlah kecurian yang tinggi.

Namun, data daripada tujuh bandar AS menunjukkan bahawa jumlah kecurian Hyundai dan Kia masih meningkat.

Sepanjang tahun 2023 ini, polis Minneapolis telah menerima sebanyak 1,899 laporan kecurian Kia dan Hyundai, hampir 18 kali ganda jumlah untuk tempoh yang sama pada 2022.

Senario itu diburukkan oleh ‘promosi ‘ melalui video di TikTok dan platform media sosial lain yang menerangkan keadah mudah untuk memulakan dan mencuri model Kia dan Hyundai; hanya dengan menggunakan pemutar skru dan kabel USB, yang menyebabkan ia menjadi seolah-olah wabak dan merebak ke seluruh AS sejak lewat 2021.

Di New York, masalah kecurian kereta model Hyundai dan Kia semakin membimbangkan sehinggakan pihak berkuasa bandar raya telah mengadakan sidang media pada 30 Mac lalu untuk menawarkan peranti pemilik yang boleh mengesan kenderaan mereka jika ia dicuri.

Polis New York mengesahkan telah menerima sebanyak 966 laporan kecurian kereta Hyundai dan Kia setakat 30 April 2023 ‒ hampir tujuh kali ganda jumlah dalam tempoh yang sama pada 2022. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -