Mesti layan Kedah sebagai PM, bukan presiden parti

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau konsisten melaksanakan urusan pentadbiran bagi merundingkan beberapa perkara dengan Kerajaan Persekutuan termasuk berkaitan bayaran pajakan Pulau Pinang.

Untuk tujuan tersebut beritahunya, beliau atas kapasiti tanggungjawab jawatannya itu telah menghantar tiga surat yang dibuat secara rasmi, bersopan dan beradab kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Saya tak tahu ukuran dia ambil dari mana tapi sepanjang perhubungan G to G, hubungan saya sebagai Menteri Besar dengan YAB Perdana Menteri adalah proper, bersopan, beradab, bertatakelola. Ada surat, ada permohonan, hadir mesyuarat.

“Itu fungsi Menteri Besarlah. Ada pun ceramah-ceramah, ucapan-ucapan dalam kempen pilihan raya, itu sebagai Pengarah Pilihan Raya. Saya tengok masa ceramah pilihan raya, YAB Perdana Menteri pun sakan juga. Ada keluar macam-macam perkataan, kan?

“Apa bodoh, bangang, apa lagi lah. Saya tak ambil itu (sebagai) ucapan (seorang) Perdana Menteri. (Saya anggap) Itu ucapan Presiden partilah yang berkempen dalam pilihan raya. Dan tak dak orang saman pun. Jadi saya rasa kena ada beza.

“Sebab kita diletakkan pada batang tubuh yang sama beberapa fungsi. Dan kita memakai beberapa topi dan beberapa pasang kasut. Masa pakai topi Pengarah Pilihan Raya, ucapan kita ialah daripada parti yang bertembung, bersaing dalam sistem demokrasi.

“Maka ucapan kita akan menunjukkan kebaikan kita dan menunjukkan kelemahan lawan. Saya rasa semua parti di Malaysia membuat perkara yang sama. Sama saya pun sebab saya juga diberi fungsi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya (PAS),” jelasnya.

Beliau menjelaskan demikian sebagai reaksi kepada bidasan Anwar terhadap beliau di Dewan Rakyat semalam ketika sidang media selepas memberi keterangan kepada polis di Wisma Darul Aman, di sini petang tadi.

Menurut Sanusi, kerja-kerja beliau sebagai Menteri Besar adalah dengan mematuhi dan memenuhi garis panduan sepertimana dalam sumpah perjawatan dan menimbang seadil-adilnya perkara-perkara yang dibawa kepadanya.

Iaitu maklum nya, untuk memelihara kepentingan negeri ini bagi pihak Tuanku Sultan Kedah dan tidak ada membuat ucapan-ucapan yang di luar tatasusila seorang pemimpin negeri apabila saya ‘memakai kasut atau topi’ Menteri Besar.

“Jadi bila diambil kerja saya yang lain letak dalam kasut Menteri Besar, tak adillah dan diucapkan itu di Parlimen di mana saya tidak ada di situ untuk menjawab. Jadi saya dapat ruang ini untuk saya jelaskan.

“Supaya rakyat Malaysia memahami watak-watak yang ada di medsos, ada di mana-mana itu adalah watak berdasarkan fungsi saya dalam parti dan fungsi saya sebagai Menteri Besar,” ujarnya.

Beritahu beliau, keterangan polis diberikannya adalah bersandarkan dokumen-dokumen yang turut diserahkan kepada pihak tersebut bagi melengkapkan siasatan atas laporan telah dibuat ke atas dirinya.

“Saya rasa ketika saya bertemu dengan beliau (Perdana Menteri) di LIMA, di majlis hari raya sebagai Menteri Besar, saya polite, moderate. Tak ada sikap-sikap yang digambarkan semalam (di Dewan Rakyat) itulah.

“Lagipun, watak asli kita macam itu, orang Kedah bahasa Kedah saya rasa dia faham tapi dia buat-buat tak faham kerana dia bimbang dengan DAP. Saya rasa semua tindakan-tindakan dia pun kerana dia risaukan DAP.

“Kalau dia membuat pertimbangan dengan adil, saksama, sepertimana yang disumpahkan sewaktu mengangkat jawatan sebagai Perdana Menteri, dia akan layanlah surat saya itu dengan adil dan saksama,” ujarnya.

Tegasnya, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dalam hal itu dan selainnya adalah persaingan dalam arena politik menerusi ceramah-ceramah dan beliau akan terus berusaha untuk bertemu Perdana Menteri.

“Saya tak boleh patah hati. Saya tak boleh koyak. Sebagai Menteri Besar saya mesti tabah untuk terus membawa negeri saya seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undanglah.

This is very unconstitutional to ignore our state kerana saya parti lain. Tak boleh,” ujarnya berharap Dato’ Seri Anwar membetulkan kapasiti tersebut sedangkan mengaku telah menerima surat tersebut tetapi tidak mahu berjumpa.

Sanusi bagaimanapun menyifatkan pendirian Anwar itu tidak tepat dengan tatakelola sebagai seorang Perdana Menteri kerana mesti berlaku adil walaupun antara mereka berlainan parti kerana urusan itu tidak mewakili parti.

“Dia adalah Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia. You have to be fare. Jangan kata kita (saya) je, dia pun samalah. Dia tak bagi kita keluar daripada tatakelola, dia pun jangan keluarlah.

“Saya masih dengan penuh rasa hormat kepada YAB Perdana Menteri berharap surat saya ni dilayan dengan adil. Ada orang duk kempen sekarang ni kalih bagi sama supaya negeri dengan pusat sama barulah berlaku keadilan.

“Saya rasa itu satu kempen yang songsang. Kempen yang songsang kerana hak rakyat untuk memilih dijamin oleh Perlembagaan. Jadi rakyat dah pilih kerajaan dah terbentuk, dia parti lain. Tapi bila datang kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, dia mesti berlandaskan pada undang-undang.

“Undang-undang tidak pernah menyatakan hanya apabila parti di Pusat dan Negeri sama barulah proses keadilan boleh berlaku. Itu di luar batas undang-undang. Jadi tak payah dah kempen sampai tak peduli undang-undang.

“Dia kena adil kepada negeri Kedah walaupun Kedah ditadbir oleh parti yang tak sama dengan parti dia. Dan kempen-kempen untuk kalih bagi sama barulah keadilan, layanan yang sama rata dapat diberikan itu bertentangan dengan undang-undang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -