Malaysia perlu bantu pemulihan Afghanistan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan sokongan dan inisiatif jangka pendek dan jangka panjang bagi membantu kerajaan Afghanistan yang mula pulih dari pergolakan dalaman.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, sebagai antara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kerajaan perlu menghulurkan bantuan bagi penstabilan negara itu.

“Minta Menteri Luar Negeri menyatakan dan inisiatif jangka pendek dan panjang terhadap Afghanistan, terutama dalam mengukuhkan institusi pentadbiran dan memberdayakan potensi.

“Begitu juga penglibatan wanita dan pendidikan kanak-kanak dalam memacu pembangunan negara tersebut,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan melalui Wisma Putra amat prihatin dan sentiasa memantau perkembangan yang berlaku di negara tersebut.

Pihaknya turut bekerjsama secara dua hala dan pelbagai hala dengan negara lain bagi memastikan pendirian Malaysia terhadap isu dibangkit dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Malah, katanya pada Persidangan Pendidikan Antarabangsa Wanita Afghanistan pada 8 Disember lalu, kerajaan meneruskan gesaan memperkasakan pendidikan wanita dan kanak-kanak.

Kerajaan juga katanya, menganjurkan kursus modal insan menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang membabitkan 617 orang pegawai kerajaan Afghanistan.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Malaysia International Scholarship (MIS) turut menawarkan biasiswa kepada pelajar dari negara tersebut melanjutkan pengajian termasuk wanita.

“Sewaktu persidangan itu, kita meneruskan gesaan supaya masyarakat sivil dan kerajaan memperkasakan kedudukan wanita dan gadis serta hak mereka mendapat pendidikan.

“Kita mengambil pendekatan dan pendirian dalam usaha yang dilakukan oleh OIC bagi memastikan keterjaminan keselamatan dan hak asasi manusia di negara itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2023

- Advertisement -